Graduan selamatkan bapa dalam kebakaran terima Anugerah Khas Tuah

Amirul Zarith (kiri) menunjukkan anugerah diterima kepada kepada ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-15 di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal hari ini.
Amirul Zarith (kiri) menunjukkan anugerah diterima kepada kepada ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-15 di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Keberanian seorang pemuda menyelamatkan ayah yang lumpuh dalam kebakaran rumah Ogos lalu dikagumi sehingga Amirul Zarith Zamri, 24, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tuah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-15, di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, hari ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan disaksikan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Raha Abdul Rahim.

Graduan Ijazah itu ketika ditemui berkata, insiden tersebut menyebabkan keseluruhan rumahnya hangus menyebabkan mereka sekeluarga kini menetap sementara di rumah sewa di Maran, Pahang.

"Peristiwa itu berlaku ketika saya baharu menamatkan pengajian dan menunggu masa untuk konvokesyen, sekali gus apa yang berlaku menambahkan rasa sayang pada keluarga," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia berada dalam bilik air dan dikejutkan dengan jeritan ibunya, Rahimah Idrus, 60, sebelum melihat keadaan tengah rumah yang berasap.

Katanya, ketika itu, dia tidak berfikir panjang dan segera menyelamatkan ayah, Zamri Ripin, 62, yang menghidap sakit strok dan mengalami lumpuh separuh badan ke luar rumah.

"Beberapa minit selepas berjaya selamatkan ayah, api terus marak dan menyebabkan keseluruhan rumah tidak dapat diselamatkan," katanya.

Beliau berkata, kepayahan hidup, apatah lagi bapanya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan mendorongnya belajar bersungguh-sungguh sehingga cemerlang selain aktif dalam sukan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Nur Shukri Jawahir, 23, berkata, dia yang pernah mengalami kehilangan ibu sejak berusia 14 tahun akibat sakit buah pinggang tidak pernah meletakkan kekurangan itu sebagai kayu pengukur untuk berjaya.

Menurutnya, dia juga mendapat keputusan sederhana ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun terus berazam untuk berjaya selepas menerima tawaran belajar di UTeM.

"Apa yang penting, jangan putus asa dan doa kerana saya bukanlah budak yang cemerlang pada awalnya, namun saya terus berusaha gigih.

"Syukur dengan anugerah ini dan saya pernah gagal dulu, namun itu semua perangsang untuk mencipta kejayaan," katanya.

Selain itu seorang pelajar, Ng Xin Ni turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja, manakala Intan Fara Najihah Razali dan Teh Wei Yuan menerima anugerah Hadiah Canselor.

Pada majlis konvokesyen kali ini menyaksikan penganugerahan kepada 2,993 graduan termasuk 21 penerima ijazah doktor falsafah, seorang penerima Ijazah Doktor Kejuruteraan, ijazah sarjana (240), ijazah sarjana muda (2,245) dan diploma (385).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!