Guru Pasti maut kereta dirempuh bas
LUMUT - Seorang guru perempuan maut manakala dua rakannya cedera selepas kereta yang dipandu dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Batu 7, Lekir di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Ragayah Bakar, 39, yang merupakan guru Pasti Al-Huda, Seri Manjung meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan itu berpunca apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga guru itu dipercayai telah keluar simpang ketika lampu isyarat merah.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut bergerak dari Taman Kris menghala ke Seri Manjung lalu keluar simpang di lokasi kejadian.
“Akibat jarak terlalu dekat, bas yang membawa 30 penumpang dari arah Seri Manjung tidak sempat brek lalu melanggar sisi bahagian kanan kereta tersebut,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat manakala dua rakannya berusia 36 dan 21 tahun telah mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama.
“Pemandu bas berusia 45 tahun serta penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. Kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.
“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!