Fitnah di Facebook: Speaker Negeri Sembilan lapor polis

Zulkefly (empat dari kiri) dan Norwani (dua dari kanan) membuat laporan polis berhubung tuduhan fitnah terhadap mereka di Facebook.
Zulkefly (empat dari kiri) dan Norwani (dua dari kanan) membuat laporan polis berhubung tuduhan fitnah terhadap mereka di Facebook.
A
A
A

SEREMBAN – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar membuat laporan polis hari ini berhubung tuduhan fitnah terhadapnya di sebuah laman sosial Facebook.

Menerusi akaun Facebook yang menggunakan nama ‘ PH Hot Coffee’ itu, Zulkefly dikatakan sebagai seorang Speaker yang mabuk kuasa, hilang akal dan kaduk naik junjung.

Zulkefly berkata, kenyataan itu secara terangan telah menghinanya dan menjatuhkan reputasinya sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan.

“Saya menafikan sekerasnya semua kenyataan berkaitan saya di Facebook itu yang saya seolah-olah mengganggu pentadbiran kerajaan negeri dan cuba menjatuhkan menteri besar.

“Ia secara jelas satu cubaan fitnah terhadap saya sekaligus mencemar nama baik dan menjatuhkan imej saya selaku Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan iaitu ketua legislatif tertinggi di negeri ini,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga adalah cubaan menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadapnya.

Sehubungan itu katanya, pihak polis diminta menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu terlibat termasuk admin akaun Facebook berkenaan.

Dalam pada itu, beliau juga akan mengambil tindakan saman terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan serta individu lain terlibat kerana telah menjatuhkan reputasinya.

Artikel Berkaitan:

“Saya bertegas dalam hal ini kerana karektor saya sebagai seorang pemimpin cuba dibunuh dan ia budaya yang tidak sihat,” katanya.

Menerusi hantaran di laman Facebook berkenaan pada 23 Oktober lalu, Zulkefly turut dituduh cuba mensabotaj program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng.

Sementara itu laporan polis berasingan turut dibuat Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmad di IPD Seremban terhadap Facebook sama.

Katanya, pemilik akaun Facebook terbabit telah menulis kenyataan fitnah dan berbaur hasutan terhadapnya.

“Saya buat laporan polis supaya pemilik akaun itu diambil tindakan sewajarnya kerana penulisannya banyak menyerang peribadi, memfitnah dan boleh menjejaskan keharmonian parti politik di negeri ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!