Terima writ, saman tanda semangat keterbukaan: Shahrir
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan tindakannya menerima writ dan penyata tuntutan saman daripada Felda terhadapnya di ruang legar Menara Felda hari ini sebagai satu semangat keterbukaan.
Shahir berkata, perkara berkenaan dilihat penting biarpun tuntutan saman berkenaan melibatkan dirinya dan Felda.
Menurutnya, tuntutan undang-undang sedemikian tidak sewajarnya dilakukan secara tertutup kerana ia turut melibatkan kepentingan awam.
"Saya pun belum lagi baca dan faham apa yang dituntut mereka (Felda) kepada saya tetapi berpandukan tulisan yang dibuat (Datuk) A Kadir Jasin pada 17 November lalu.
"Beliau dalam rencana tulisannya membuat kenyataan secara terbuka dan jelas bahawa Felda dan FIC (Felda Investment Corporation Sdn Bhd) minta tiga perkara, satu beri balik geran 17 lot tanah Jalan Semarak, dua batal perjanjian dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) iaitu perjanjian antara Felda dengan SPSB dan ketiga bayar pampasan serta ganti rugi sebanyak RM2.06 bilion.
"Bagi saya, saya tak tahulah mana penglibatan saya, mungkin bayar pampasan ke, saya tak tahu sebab peguam saya yang akan lihat," katanya ketika ditemui selepas mengambil sendiri writ dan tuntutan saman berkenaan di Menara Felda hari ini.
Sementara itu Shahrir berkata, dia bagaimanapun keliru dengan permintaan Felda dan FIC berdasarkan kepada artikel atau rencana ditulis Kadir yang juga Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri.
Katanya, pada Februari 2018, pihak SPSB telah pun mengembalikan semula kesemua lot tanah berkenaan selain mendaftarkan semula tanah-tanah itu sebagai milik Felda.
"Saya nak membuktikan tanah-tanah ini sudah pun berdaftar atas nama Felda. Saya buat carian di Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan, kita mendapati semua lot tanah yang terlibat, 23 lot tanah semuanya sudah pun berdaftar atas nama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan saya difahamkan geran tanah berkenaan juga dalam simpanan Felda.
"Oleh itu, bagi mengelakkan kekeliruan berterusan hasil daripada adanya saman sini, saman sana, saya pun menyampaikan hasil pencarian saya ini kepada lot-lot tanah berkenaan pada empat pemegang taruh dalam Felda iaitu peneroka yang diwakili ketua peneroka, pegawai kanan dalam Felda yang diwakili oleh Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Felda, Kesatuan Pekerja Felda dan Majlis Belia Felda.
"Jadi, keempat-empat pemegang taruh ini sudah pun saya serahkan hasil carian tanah berkenaan supaya tidak adalah pihak dalam kalangan pemegang taruh utama Felda terkeliru dengan soal tanah ini ada atau tidak dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!