Kumpulan penyokong komunis semakin berani
SHAH ALAM - Penyokong kumpulan komunis kini semakin berani mengagung-agungkan ideologi mereka di negara ini secara terbuka.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusop berkata, selepas cubaan menyebarkan ideologi komunis menerusi buku komik dan membawa balik abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, kumpulan terbabit menganjurkan majlis ulang tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pula kelmarin.
Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan pihak berkenaan bersungguh-sungguh mahu mengubah sejarah negara dan sekiranya tidak dihalang, dikhuatiri usah mereka itu akan berjaya.
"Petandanya sudah semakin jelas, jika sebelum ini orang malu dan tidak berani mengaku saudara terdekat mereka pengganas komunis, kini ia seolah-olah menjadi satu kebanggaan pula untuk mengumumkannya secara terbuka. Apalah yang nak jadi dengan negara kita agaknya?," katanya dalam hantaran Facebook milik beliau.
Kamarul Zaman berkata, walaupun nama majlis berkenaan iaitu Memperingati Ulang Tahun Ke-30 Penandatangan Perjanjian Damai Hatya tidak salah, namun ia menjadi kesalahan apabila pesertanya secara terbuka mengagung-agungkan komunis.
Katanya, ia boleh dilihat apabila bekas pengikut komunis, Tan Yi Yu dilaporkan berkata tujuan majlis dianjurkan bukan sahaja untuk memperingati perjanjian damai tersebut tetapi juga untuk menegakkan kebenaran bahawa mereka adalah pejuang kemerdekaan, demokrasi, kebebasan dan keamanan.
"Pemimpin DAP, Ronnie Liu pula selain dengan bangganya mendedahkan bahawa datuk dan abang beliau adalah pengganas komunis, siap memberi tabik hormat kepada para pengganas komunis selaku patriot dan pejuang kemerdekaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!