Paus mati dengan sampah 100kg dalam perut
ISLE OF HARRIS - Seekor paus sperma ditemukan mati di sebuah pantai di Scotland dengan kira-kira 100 kilogram (kg) jaring, tali, cawan plastik, beg, sarung tangan, tali pembungkusan dan tiub terdapat di dalam perutnya.
Paus jantan itu mati selepas terdampar di Isle of Harris Khamis lalu, dua hari sebelum anggota sebuah organisasi yang menyiasat insiden haiwan terdampar, Program Haiwan Laut Terdampar (SMASS) menemuinya.
Apabila SMASS menemui bangkai ikan paus tersebut, terdapat bola besar yang mengandungi pelbagai serpihan marin di dalam perutnya.
"Ketika kami tiba ia telah mati selama 48 jam. Sebahagian besar sampah yang berada di dalam perut haiwan itu kelihatan sudah lama berada di situ.
"Jumlah sampah yang sangat banyak mungkin faktor yang menyebabkan ia terdampar. Buat masa ini kami belum menemui sebarang bukti ia memberi kesan atau menghalang ususnya," jelas SMASS dalam satu kenyataan di Facebook.
SMASS juga percaya serpihan sampah itu berasal dari daratan dan sektor perikanan di laut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!