Perintah injunksi fitnah

A
A
A

SAYA ada menulis dalam beberapa artikel saya yang lalu mengenai saman fitnah dan pampasan yang boleh dituntut dalam saman fitnah. Namun, dalam situasi tertentu, anda juga boleh memohon kepada mahkamah untuk satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang pemfitnah daripada terus menyebarkan kenyataan fitnah atau tohmahan terutamanya di laman sosial.

Apakah perintah injunksi? Secara umumnya, perintah injunksi adalah satu perintah daripada mahkamah untuk menghalang atau mengarahkan seseorang daripada melakukan sesuatu. Jadi, perintah injunksi fitnah bermaksud permohonan kepada mahkamah untuk menghalang pemfitnah daripada terus mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan fitnah mengenai anda.

Terdapat dua jenis perintah injunksi iaitu perintah berbentuk larangan (prohibitory) dan satu lagi berbentuk mandatori. Perintah injunksi larangan bermaksud perintah yang melarang atau menghalang sesuatu pihak daripada melakukan sesuatu, seperti melarang pemfitnah daripada terus menyebarkan kenyataan fitnah mengenai anda, manakala perintah injunksi mandatori bermaksud perintah untuk mengarahkan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu, seperti memerintahkan agar pemfitnah untuk membuat permohonan maaf secara umum. Bagaimanapun, dalam kes saman fitnah, amat sukar untuk mahkamah meluluskan perintah injunksi mandatori.

Kenapa perlu perintah injunksi? Kebiasaannya, pemohon yang memohon perintah injunksi adalah kerana pampasan dalam bentuk kewangan bukanlah penyelesaian yang dikehendaki atau menjadi keutamaan olehnya. Terutamanya apabila pemohon tahu akan status kewangan pemfitnah yang sudah pasti tidak akan mampu membayar pampasan dalam bentuk kewangan, atau mungkin reputasi tinggi pemohon yang tidak boleh diganti rugi dengan wang. Jadi, jalan terbaik adalah untuk memohon perintah mahkamah bagi menghalang pemfitnah daripada terus menyebarkan fitnah mengenai pemohon.

Namun, kita perlu faham bahawa meluluskan perintah injunksi ini tertakluk kepada budi bicara penuh mahkamah. Jadi, jika mahkamah rasakan perintah injunksi tidak diperlukan atau tidak sesuai, maka sudah tentu permohonan injunksi anda akan ditolak.

Sudah tentu, dalam membuat permohonan injunksi fitnah, tiga elemen utama saman fitnah seperti yang pernah diperbincangkan pada artikel saya sebelum ini bertajuk ‘Memulakan Saman Fitnah’ perlu dipenuhi terlebih dahulu. Kemudian, barulah mahkamah akan terus mendengar alasan kenapa perlu diberikan perintah injunksi kepada pemfitnah.

Malah, dalam kes Ngoi Thiam Woh v CTOS Sdn Bhd dan lain-lain, mahkamah telah menggariskan beberapa kriteria dalam meluluskan permohonan injunksi fitnah antaranya adalah seperti kenyataan tersebut tanpa ragu adalah bersifat fitnah dan boleh dibuktikan bahawa pemfitnah mempunyai niat atau berpotensi untuk terus menyebarkan kenyataan fitnah tersebut.

Sangat penting dalam permohonan injunksi fitnah ini agar pemohon dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa kenyataan yang dikeluarkan pemfitnah sememangnya salah dan fitnah. Malah, pemohon perlu menanggung satu beban pembuktian bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemfitnah itu memang jelas sifat fitnahnya.

Artikel Berkaitan:

Biarpun mahkamah membenarkan permohonan injunksi fitnah dibuat, namun itu tidak bermakna mahkamah akan sewenang-wenangnya meluluskan semua permohonan injunksi fitnah. Banyak juga permohonan injunksi fitnah yang ditolak oleh mahkamah atas banyak faktor termasuk kegagalan untuk membuktikan kepada mahkamah bahawa si pemfitnah berniat atau berpotensi untuk terus menyebarkan kenyataan fitnah tersebut di khalayak awam.

Malah, dalam beberapa kes yang lain, alasan bahawa perintah injunksi sebagai satu bentuk ‘pampasan’ alternatif kerana si pemfitnah tidak akan mampu untuk membayar ganti rugi kewangan juga kurang diterima mahkamah.

Adalah menjadi kebiasaan dalam setiap saman fitnah, peguam akan turut memasukkan permohonan injunksi agar pemfitnah berhenti menyebarkan kenyataan fitnah tersebut. Terserah kepada mahkamah sama ada mahu meluluskannya atau tidak.

Isu fitnah pada hari ini semakin menjadi-jadi. Amat penting agar kita menyemak sesuatu fakta atau berita terlebih dahulu sebelum kita menyebarkannya. Ketahuilah, kita bertanggungjawab dengan apa yang kita ungkapkan.

Dalam kes saman fitnah, amat sukar untuk mahkamah meluluskan perintah injunksi mandatori."

* Haeme Hashim ialah peguam di Haeme Hashim & Co

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!