Tiada faktor 'wow', KPP perlu lebih terperinci
KUALA LUMPUR - Intipati pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) disifatkan tidak memberi impak dan tiada faktor 'wow' yang mampu memberi keyakinan dalam aspek rancangan pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin membangkitkan perkara itu ketika mencelah perbahasan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku bekas Menteri Pertahanan.
Bung Moktar berkata, intipati KPP hanya 'biasa-biasa' dan tiada impak untuk memberi harapan bukan sahaja kepada anggota tentera tetapi kepada negara.
Hishammuddin yang bersetuju dengan perkara itu juga menyifatkan KPP yang dibentangkan tidak terperinci berbeza dengan buku ikrar yang pernah dibentangkan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
"Walaupun KPP merupakan dokumen perancangan pertahanan negara untuk 10 tahun, tidak pula memperincikan perancangan Kementerian Pertahanan untuk tahun 2021 hingga 2030 iaitu perkara yang cukup penting untuk memikirkan apa yang hendak dibincangkan dalam KPP ini...dapat memberi keyakinan kepada semua yang membacanya dan memberikan hala tuju yang jelas kepada pihak berkepentingan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran, warga Kementerian Pertahanan dan keluarga masing-masing.
"Intipati KPP tidak berfokus dan tiada kesinambungan yang jelas, dalam bab empat misalnya hanya dimasukkan wishlist (senarai) aset ATM bagi tempoh 10 tahun mendatang. Tetapi apabila diselak bahagian perlaksanaan KPP tidak pula diperincikan kaedah kerajaan untuk melaksanakan perolehan aset-aset ini.
"Perancangan untuk membina sesuatu aset pertahanan yang mengambil lebih daripada lima ke lapan tahun ini boleh menjejaskan hala tuju dan fokus bukan sahaja keyakinan daripada rakyat tetapi daripada warga dan anggota itu sendiri. Apa bentuk pelaburan dan apa langkah yang akan diambil sekiranya pelaburan tidak berjaya. Apa akan berlaku sekiranya perancangan kita pada ketika itu baru nak mula," katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelutong, R.Sanisvara Nethaji Rayer mencelah menyatakan ada sebab hala tuju dan rancangan tidak didedahkan secara terperinci kerana boleh menjadi ancaman keselamatan negara sekiranya didedahkan secara terbuka.
Hishammuddin mengakui hal tersebut namun dengan nada sinis menyatakan pendirian tersebut perlu konsisten sambil menyentuh isu pendedahan ketidakupayaan aset ketenteraan yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Saya setuju tetapi kita kena konsisten dalam pendirian kita. Kalau pada satu hari kita boleh dedahkan berapa kapal terbang kita boleh terbang.
"Tetapi sekurang-kurangnya memberi keyakinan kita mempunyai perancangan. Bukan menunjukkan apa kekuatan kita hari ini tetapi dunia boleh melihat bahawa kerajaan Malaysia hari ini mengambil serius berhubung keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!