Jangan biadab dengan presiden: AMK Kedah

Mohd Syauqi (tiga dari kanan) bersama sebahagian pimpinan AMK Kedah dalam satu majlis baru-baru ini.
Mohd Syauqi (tiga dari kanan) bersama sebahagian pimpinan AMK Kedah dalam satu majlis baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyifatkan tindakan Naib Ketua AMK Lembah Pantai, Nazrin Idham Razali yang mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai biadab.

Ketua Penerangannya, Mohd Syauqi Md Sahimi berkata, sepatutnya Nazrin mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin serta Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham yang tidak hadir ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana melanggar perlembagaan parti.

Menurutnya, sekiranya Nazrin dan kumpulannya sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar dan pimpinan parti, adalah lebih elok mereka sahaja yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Carilah parti baru. Tidak perlu menjadi pengemis dalam PKR dan mencari publisiti murahan. Mungkin PKR sudah tidak sesuai dengan mereka yang dilihat sudah lari dari perjuangan asal,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Syauqi berkata, AMK Kedah turut mencadangkan agar Nazrin mengusulkan cadangan kepada Mohamed Azmin untuk menubuhkan parti sendiri.

“Kenyataan Nazrin terhadap Anwar disifatkan sebagai sengaja mahu mencari publisiti murahan menjelang kongres yang akan diadakan. Tuduhan konon Anwar kini menumpukan kepada agenda peribadi untuk menjadi PM (Perdana Menteri) akan datang menunjukkan Nazrin masih tidak dapat menerima kenyataan atau tidak tahu perjanjian bersama PH (Pakatan Harapan) yang bersetuju Anwar bakal PM ke-8,” katanya.

Beliau berkata, malah perkara itu diulang berkali-kali oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bermakna, tuduhan bahawa Anwar ada agenda peribadi adalah satu tuduhan jahat. Nazrin harus ingat, 20 tahun PKR ditubuhkan dengan pelbagai cabaran. Dipimpin seorang wanita yang tabah harungi segala ujian dan rintangan sehingga berjaya membentuk kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Syauqi berkata, pada masa sama, kerusi PKR dalam pentadbiran kerajaan adalah yang terbanyak, menunjukkan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan pemimpin yang hebat.

“Maka tidak salah keputusan yang dilakukan AMK untuk menjemput beliau merasmikan Kongres AMK kali ini. Adakah Nazrin merasai derita yang ditanggung keluarga presiden? Jangan kita lupa dan sombong apabila berjawatan tinggi hingga sanggup jadi pengkhianat parti dan pemimpin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!