Tatu: Penganjuran bertentangan prinsip Rukun Negara
SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menyifatkan penganjuran Tattoo Malaysia Expo 2019 bertentangan prinsip Rukun Negara.
Katanya, prinsip tersebut merangkumi adab dan budaya masyarakat yang menyentuh isu pemakaian serta batas interaksi dalam masyarakat.
"Mendedahkan badan ketika sesuatu persembahan tidak melambangkan kesopanan sekali gus bertentangan dengan prinsip Rukun Negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Semalam, tular di media sosial gambar serta visual peragaan separuh bogel Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlangsung Jumaat lalu melibatkan peserta dari 35 buah negara.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, penganjur ekspo tersebut tidak sensitif terhadap tradisi tatasusila masyarakat timur yang penuh dengan kesopanan.
"Apa yang berlaku menunjukkan terdapat pihak tertentu yang mempunyai kepentingan dari sudut ekonomi dengan mengabaikan prinsip Rukun Negara. “katanya
Tambahnya lagi, tindakan tersebut dilihat keterlaluan sehingga boleh menjejaskan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Sekiranya ekspo ini diadakan bertujuan menarik minat pelancongan untuk datang ke Malaysia ia merupakan satu alasan yang tidak munasabah sama sekali," katanya.
Justeru, beliau menyarankan pihak berwajib melakukan siasatan secara terperinci terhadap program yang bakal diadakan agar tidak bertentangan dengan prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!