Bomba NS bantu operasi banjir di Pantai Timur
SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bersiap sedia untuk mengerah anggotanya membantu operasi banjir di Pantai Timur.
Pengarahnya Hamdan Ali berkata, pihaknya telah pun menghantar logistik ke Terengganu dan Kelantan untuk menampung keperluan pasukan keselamatan di negeri itu bagi melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
“Kita menghantar dua unit bot dan dua lori dan setakat ini tiada permintaan untuk penambahan anggota.
"Di sana (pantai timur) ada pusat penilaian banjir yang akan menilai keperluan kegunaan peralatan dan anggota,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan dan Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan 2019 hari ini.
Hamdan memberitahu, cuti seramai 500 dan pegawai anggota bomba di Negeri Sembilam dibekukan serta merta.
Menurutnya, terdapat 113 lokasi yang berpotensi banjir di negeri ini membabitkan 34 di Seremban, Port Dickson (18), Jelebu (18), Rembau (16), Tampin (lapan) dan Kuala Pilah (tujuh).
“Tapi buat masa ini, keadaan banjir di negeri ini hanya di peringkat banjir kilat dan terkawal,” katanya.
Pada majlis berkenaan, seramai 106 anggota bomba menerima kenaikan pangkat selepas bertugas melebihi had perkhidmatan 13 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!