Pendekatan TVET perlu direkayasa: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah (dua dari kanan) melancarkan Kemahiran Malaysia 2.0: Kemahiran Untuk Semua Ke Arah Pekerjaan Kolar Baharu di Institut Latihan Perindustrian Ipoh hari ini.
Sultan Nazrin Shah (dua dari kanan) melancarkan Kemahiran Malaysia 2.0: Kemahiran Untuk Semua Ke Arah Pekerjaan Kolar Baharu di Institut Latihan Perindustrian Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Pendekatan dan kaedah di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu direkayasa agar bertenaga dan dinamik dalam menghadapi cabaran perubahan teknologi, peningkatan migrasi pekerja peringkat global dan perubahan iklim dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tumpuan perlu diberikan untuk meningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah (problem based learning), pembelajaran berasaskan projek (project based learning) dan pembelajaran berasaskan pengeluaran (production based learning) yang akan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan dunia pekerjaan sebenar.

Titah baginda, pekerjaan teknikal jenis baharu menekankan kepada kemahiran secara khusus dan tidak lagi ijazah akademik yang bersifat umum, menunjukkan kecenderungan permintaan tenaga kerja oleh industri masa kini bukan lagi bergantung kepada kelulusan akademik tetapi lebih kepada kemahiran dimiliki.

"Dengan perkembangan tersebut, reka bentuk modul dan kurikulum yang lebih khusus dan fleksibel melalui kaedah micro-credential, kaedah pendidikan yang berlandaskan kepada kompetensi amat diperlukan. Konsep pembelajaran secara mikro yang dijuruskan secara spesifik untuk memenuhi keperluan industri, perlu dipergiatkan.

"Pekerja baharu yang mahu dilahirkan memerlukan kaedah latihan yang baharu, selaras dengan kata-kata Albert Einstein yang menyifatkan, 'Education is not learning the facts but the training of the mind to think'. Hakikatnya, pendidikan hendaklah berupaya mencanai pemikiran yang kritikal dan menyemai minda yang kreatif," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kemahiran Malaysia 2.0 (SkillsMalaysia 2.0) di Institut Latihan Perindustrian Ipoh hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Sultan Nazrin turut bertitah, para pelatih yang mengikuti program-program TVET perlulah dilengkapi dengan kemahiran insaniah merangkumi aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif, berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, kemahiran insaniah adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi.

"Aspek etika dan moral wajib dijadikan komponen penting agar teknokrat dan pekerja mahir yang dihasilkan berpegang kepada prinsip-prinsip amanah, integriti dan kejujuran serta memusuhi perbuatan rasuah, tidak bersifat pecah amanah, tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa," kata baginda.

Baginda menzahirkan harapan agar langkah memperkenalkan program Kemahiran Malaysia 2.0 dapat memantapkan lagi pembangunan modal di bidang TVET agar dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi dan tenaga mahir dari negara luar.

"Beta menzahirkan penghargaan kepada langkah bijak lagi bertepatan dengan masa yang dirintis oleh Kementerian Sumber Manusia," titah baginda.

SkillsMalaysia 2.0 merupakan penjenamaan semula kepada SkillsMalaysia yang dilancarkan pada 2011 lalu mengambil kira evolusi teknologi Revolusi IR 4.0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!