Penekanan ke atas STEM, TVET untuk mantapkan sumber tenaga: Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia kini mengikut jejak langkah negara maju seperti Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat dalam memberi penekanan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di samping Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah menjadikan STEM dan TVET sebagai agenda utama pendidikan negara bertujuan bagi menghasilkan lebih ramai yang mahir dalam profesion teknikal.

"Kita juga tidak ketinggalan dalam memastikan STEM dan TVET diutamakan dengan statistik terkini menunjukkan 44 peratus pelajar di Malaysia menjadikan bidang STEM pilihan mereka dan kerajaan menyasarkan peratusan itu ditingkatkan kepada 60 peratus pada masa akan datang," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 menerusi rakaman video di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa negara-negara maju berkenaan sentiasa menekankan inovasi dan penghasilan teknologi terkini sehingga menjadi antara negara yang paling banyak mendaftar paten antarabangsa.

Dr Mahathir dalam pada itu berkata, kepakaran rakyat Malaysia yang terlibat dalam profesion teknikal terutamanya turut diiktiraf negara luar tempat mereka bekerja.

Ini terbukti melalui kejayaan syarikat Petronas yang kini beroperasi di serata dunia dengan kakitangannya menguasai ilmu dan kecekapan dalam bidang teknikal industri minyak dan gas.

"Kejayaan ini sudah pasti menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir menegaskan bahawa perkembangan global terkini khususnya Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0 berpaksikan kepada teknologi terkini menyasarkan kewujudan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan lebih pantas, pintar dan dinamik.

Sehubungan itu, beliau berkata, negara perlu memastikan pekerja dalam bidang teknikal dilengkapi kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’ berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

“Usaha bersama kita ini dapat memastikan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dalam bidang teknikal dapat dikawal dan dikurangkan.

"Kita tiada pilihan melainkan berusaha dengan lebih agresif untuk memartabat dan mengiktiraf profesion teknikal ke tahap lebih tinggi,” kata Dr Mahathir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!