Pembentangan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku polis ditangguh

Liew Vui Keong - Foto Bernama
Liew Vui Keong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) ditangguhkan ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Berikutan itu, usul pembentangan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang mengenai perkara itu turut ditangguh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika mengemukakan perkara itu pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini memohon dewan menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga RUU IPCMC Dr 25 2019 di nombor dua Aturan Mesyuarat hari ini ke mesyuarat akan datang.

Berikutan itu, Yang Dipertua, Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata usul membentangkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang berkenaan perkara itu turut ditangguh.

“Oleh demikian, usul oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh), Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang di nombor satu Aturan Mesyuarat hari ini juga ditangguhkan ke mesyuarat akan datang kerana ia berkaitan dengan Rang Undang-undang berkenaan (IPCMC),” katanya.

RUU IPCMC 2019 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Julai lepas dan bacaan kali kedua pada Oktober lepas sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mempertingkatkan integriti dan keupayaan pasukan polis dan akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!