Tun M kunci mulut cadangan lantik Anwar sebagai menteri tugas khas
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil sikap kunci mulut berhubung cadangan cadangan penasihat medianya, Datuk A Kadir Jasin supaya melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri tugas khas.
Beliau bagaimanapun menyifatkan semua orang bebas mengeluarkan pendapat, namun tidak semestinya dipersetujui.
"Itu pendapat dia (Kadir). Di Malaysia, kita bebas bersuara. Siapa pun boleh buat apa-apa cadangan.
"Saya dengar semua orang cakap. Tak semua kita setuju. Banyak (juga) cadangan mengenai rombakan Kabinet, ini kebebasan bersuara.
"Anda boleh tanya apa yang anda suka tapi sama ada saya akan respons atau tidak, apa yang saya fikirkan, saya simpan sendiri," katanya pada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Kadir dilaporkan mencadangkan Anwar dilantik sebagai menteri tugas khas susulan kesediaan Mahathir mempertimbangkan rombakan Kabinet selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Tanjung Piai.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perjumpaan sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang pada Ahad lalu.
"Anda cakap tentang parti komunis. Saya baca surat khabar saja. Saya baru balik dari Korea. Tanya pasal Korea saya boleh jawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!