Anggota polis dibakar hidup-hidup di Congo
KINSHASA - Seorang anggota polis dibakar hidup-hidup oleh perusuh semasa bantahan terhadap Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) semalam.
Protes ganas di bandar Beni itu tercetus selepas penunjuk perasaan menuduh tentera kerajaan dan MONUSCO gagal melindungi orang awam daripada serangan pemberontak di rantau berkenaan.
Polis dalam satu kenyataan berkata, mangsa dibakar semasa perusuh menyerbu rumahnya sambil menambah sekurang-kurangnya 20 orang termasuk 12 anggota polis cedera dalam rusuhan tersebut.
Seorang wanita turut maut dibelasah perusuh manakala dua penunjuk perasaan mati terkena peluru hidup dilepaskan pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Polis Beni, Jean-Feliz Kazingufu mempertahankan penggunaan kekerasan oleh pasukannya sambil menambah mereka terpaksa melepaskan tembakan kerana protes bertukar ganas dan tidak terkawal.
"Kami bukan sahaja perlu menghentikan tunjuk perasaan malah terpaksa berdepan perusuh yang berniat jahat," katanya.
Kira-kira 100 orang awam di Beni dilaporkan terbunuh berikutan pergolakan antara kumpulan pemberontak Angkatan Demokrat Bersekutu (ADF) dan tentera negara itu sejak akhir Oktober lalu.
Angka kematian yang semakin meningkat menyebabkan orang awam marah dan melakukan protes di jalanan.
MONUSCO terdiri daripada kira-kira 16,500 anggota tentera dan pemerhati, 1,300 anggota polis dan sekurang-kurangnya 4,000 pemerhati awam. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!