Dedah pemalsuan tuntutan Bersatu Perlis
ALOR SETAR - Bekas Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan bertegas tidak akan menarik balik laporan polis berhubung pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis.
Menurutnya, biarpun digesa pihak tertentu untuk berbuat demikian, beliau tetap dengan pendirian kerana tidak mahu terpalit dengan kes salah guna kuasa.
“Saya digesa untuk tarik balik laporan polis tersebut. Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, namun saya tetap tidak akan tarik balik laporan polis itu,” katanya.
Wan Saiful berkata, beliau turut ditawarkan wang yang banyak sekiranya membantu mengatur pemberian kontrak kerajaan, namun enggan berbuat demikian.
“Sebelum itu, saya telah tegaskan untuk tidak mencampuri urusan mengatur pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.
"Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti,” katanya.
Menurutnya, beliau juga tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan individu terbabit.
“Iltizam saya untuk bantu Bersatu Perlis menjadi lebih baik. Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti.
"Malaysia Baharu perlu disambung menjadi Perlis Baharu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!