Singapura lancar lagu kebangsaan versi 2019
SINGAPURA - Rakaman baharu lagu kebangsaan Singapura dimainkan buat kali pertama di Galeri Nasional hari ini, 60 tahun selepas ia dilancarkan.
Lagu berjudul Majulah Singapura itu adalah kemas kini rakaman rasmi terdahulu dan menampilkan kualiti bunyi yang lebih baik bagi mencerminkan peningkatan teknologi audio sejak tahun 2000.
Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), kualiti bunyi yang lebih baik akan membolehkan rakyat Singapura mendengar bunyi nuansa pada susunan muzik terutamanya di tempat besar dengan sistem bunyi moden.
Ketua Eksekutifnya, Chang Hwee Nee berkata, simbol kebangsaan negara itu telah diumumkan di Dewan Bandaraya pada 3 Disember 1959, hari sama Ketua Negara pertama Yusof Ishak mengangkat sumpah di bangunan tersebut.
Lagu kebangsaan itu dimainkan buat kali pertama selepas bendera negara dikibar sekali gus menandakan peralihan Singapura kepada negara yang mentadbir sendiri.
"Apabila simbol negara diperkenalkan 60 tahun lalu, ia menandakan permulaan baharu untuk rakyat Singapura yang terdiri daripada pelbagai kaum dan perbezaan agama di bawah satu bendera," katanya.
Rakaman semula Majulah Singapura dimainkan di hadapan kira-kira 40 orang termasuk anggota Liga Veteran Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVL), atlet pasukan Singapura dan kadet Polis Kebangsaan (NPCC).
Versi 2019 itu juga lebih cepat kira-kira lima saat berbanding rakaman lama.
Majulah Singapura dicipta pada 1958 oleh komposer tempatan, Allahyarham Zubir Said dan diangkat sebagai lagu rasmi untuk negara tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!