Penganjur ekspo tatu mohon maaf
SHAH ALAM - Pihak penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019, Blackout Trading memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung insiden peragaan tatu separuh bogel dalam acara tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengasas Blackout Trading, Carlos Benny berkata, tindakan memperagakan tatu dengan badan separuh bogel merupakan satu perbuatan tidak disengajakan dan pihaknya bertanggungjawab penuh terhadap kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya juga memberi jaminan akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.
"Niat kami menganjurkan acara bertaraf antarabangsa itu adalah untuk mempromosikan industri pelancongan terutamanya dalam seni dan budaya memandangkan tatu adalah bentuk seni yang penting di seluruh dunia termasuk Malaysia.
"Sehubungan itu, kami sekali lagi mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kejadian itu. Kekurangan dan kesilapan akan diperbaiki dengan segera. Kejadian ini mencetuskan kesedaran kepada kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Carlos, pihaknya mendapat sokongan daripada MyCEB iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk penganjuran acara itu, namun pihaknya gagal menjayakan program berkenaan dengan menepati nilai-nilai budaya negara ini.
"Kami akan menghormati keputusan yang bakal dibuat kementerian dan MyCEB dan bersedia menerima sebarang akibat perbuatan ini.
"Kementerian dan MyCEB juga tidak perlu dipersalahkan dan kami mengambil tanggungjawab penuh disebabkan insiden ini. Kami berjanji untuk memperbaikinya pada masa hadapan," katanya.
Kelmarin, tular di media sosial gambar berserta visual peragaan separuh bogel dalam salah satu acara dianjurkan pada program tersebut, sekali gus membangkitkan kemarahan orang ramai.
ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur tatu separuh bogel dipanggil polis
Raja Permaisuri Agong terkejut kontroversi ekspo tatu
Penganjuran ekspo tatu tidak wajar
Peragaan separuh bogel insiden mendukacitakan: Rais
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!