Zulfarhan kata 'jangan' semasa ditekap seterika

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Jangan" kata Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain semasa tertuduh keempat menekap seterika wap yang panas dan berasap sebanyak dua kali di bahagian pahanya.

Tertuduh keempat itu, Muhammad Afif Najmudin Azahat, 23, memberitahu di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Zulfarhan berkata demikian dengan suara yang kuat semasa dia melakukan perbuatan itu.

Selepas mengaku melakukan perbuatan itu, Muhammad Afif Najmudin turut menunjukkan cara dia meletakkan seterika wap tersebut kepada Zulfarhan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah selepas peguam Datuk Seri M Ramachelvam yang mewakilinya memintanya berbuat demikian.

Muhammad Afif Najmudin berkata, pada 22 Mei 2017, kira-kira jam 4.30 pagi, dia menghampiri Zulfarhan dan mendapati keadaannya ketika itu berpeluh dan tiada kesan kecederaan selepas tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi menggunakan seterika wap ke atas mangsa.

"Kemudian ketika Zulfarhan disoal mengenai kes kecurian, keadaan menjadi tegang serta kecoh dan seseorang menyerahkan seterika wap kepada saya dan saya secara spontan guna seterika itu kepada Zulfarhan di bahagian pahanya sebanyak dua kali tetapi tidak sampai sesaat, " katanya semasa pemeriksaan utama oleh Ramachelvam pada prosiding membela diri dalam kes pembunuhan Zulfarhan.

Ditanya Ramachelvam bagaimana reaksi Zulfarhan ketika tertuduh menekap seterika wap itu di paha mangsa, Muhammad Afif Najmudin menjawab: "Zulfarhan tarik kaki dia dan dia seolah-olah mengerekot serta meninggikan suara.

"Selepas guna seterika wap, saya letak (seterika) atas meja dan tidak buat apa-apa lagi dan kemudian balik ke bilik saya di 3-3, blok penginapan asrama Jebat, UPNM sebelum waktu Subuh," katanya.

Tertuduh itu berkata, dia mengetahui terdapat kecederaan pada Zulfarhan akibat kejadian itu apabila dimaklumkan oleh rakan-rakannya pada 26 Mei 2017, yang mana pada masa itu waktu cuti.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Afif Najmudin berkata, dia bersama tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, tertuduh keenam Abdoul Hakeem Mohd Ali, saksi ke-12 Muhammad Sufi Mohd Mustapha membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bangi menaiki kereta tertuduh ke-16 Muhammad Hasif Ismail pada 27 Mei 2017, 12 tengah hari.

"Setelah selesai rawatan di klinik, saya minta Muhammad Hasif menghantar saya ke Terminal Bas Selatan untuk saya pulang ke rumah saya di Negeri Sembilan," katanya.

Tertuduh berkata selain sama kadet dan kelas asasi di UPNM, hubungannya dengan Zulfarhan baik dan tiada kebencian serta dendam terhadap mangsa.

"Saya langsung tiada niat untuk mencederakan dan menyebabkan kematian ke atas Zulfarhan. Saya tidak tahu kegunaan seterika wap akan menyebabkan kecederaan pada Zulfarhan ketika itu," katanya.

Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim adakah seterika wap itu bersentuhan dengan kulit Zulfarhan kerana ketika itu mangsa hanya memakai “boxer” (seluar dalam longgar) tertuduh menjawab: " Betul Yang Arif".

Ditanya perkataan yang disebut Zulfarhan semasa dia meninggikan suaranya, Muhammad Afif Najmudin berkata: "jangan".

"Zulfarhan tidak lari dan dia duduk sahaja di lantai," jawab Muhammad Afif Najmudin apabila ditanya Hakim Azman adakah mangsa lari semasa dia ditekap seterika wap.

Hakim Azman: Seterika itu ada keluar asap?

Muhammad Afif Najmudin: Ada Yang Arif, saya tahu dia (seterika) panas tapi tidak tahu panas yang macam mana.

Kepada soalan Hakim Azman sama ada tertuduh tahu secara logiknya asap yang keluar dari seterika wap sama seperti air yang mendidih, Muhammad Afif Najmudin menjawab, "nak dikatakan keluar wap, tahap (suhu) paling rendah pun keluar wap juga, jadi saya tak pasti.”

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!