Pindaan Akta KWSP bakal bolehkan pindahan caruman suami kepada isteri

Amiruddin -Foto Bernama
Amiruddin -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini antara lain bakal membolehkan pemindahan caruman suami ke akaun isteri atau isteri-isterinya yang sah.

Pindaan akta itu dibentang Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan bacaan kali kedua dijangka pada sesi ini yang berlangsung sehingga Khamis.

Menurut Rang Undang-undang (Pindaan) itu, pencarum perlu membuat permohonan kepada KWSP untuk pemindahan caruman KWSP dengan mengemukakan butiran atau dokumen berkaitan, seterusnya memilih untuk memindahkan caruman secara bulanan atau tempoh yang bersesuaian.

Bagaimanapun, sekiranya berlaku perceraian atau kematian isteri, pencarum boleh memohon untuk menghentikan pemindahan itu dengan mengemukakan butir atau dokumen berkaitan.

“Selepas menerima suatu permohonan di bawah subseksyen (2), Lembaga hendaklah menghentikan pemindahan caruman itu.

“Apa-apa amaun yang telah dipindahkan ke dalam akaun ahli Kumpulan Wang yang menerima caruman yang dipindahkan sebelum tarikh penghentian pemindahan caruman itu hendaklah dikekalkan dalam akaun ahli kumpulan wang itu,” menurut Rang Undang-undang berkenaan.

Pindaan itu memperuntukkan kadar caruman yang akan dipindahkan adalah sebanyak dua peratus daripada caruman ahli KWSP yang memilih untuk memindahkan carumannya serta membenarkan suri rumah untuk membayar caruman bulanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!