Tiga sebab Raja tidak layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong
SHAH ALAM - Majlis Raja-Raja perlu memilih seorang daripada sembilan kalangan Raja-Raja untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi mengantikan kekosongan yang ditinggalkan Sultan Muhammad V.
Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutan memperuntukkan bahawa seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali tiga sebab berikut;
1. Raja itu belum dewasa
2. Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih; atau
3. Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa Raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima ahli Majlis.
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz melalui kenyataan media Istana Negara memaklumkan Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa serta merta.
Sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan itu.
Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!