Pas Perak bertegas tuntutan pemilikan 999 tahun agenda perkauman

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - Pas Perak tetap dengan pendirian bahawa pemilikan tanah sehingga 999 tahun yang dituntut oleh DAP adalah satu agenda perkauman.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tuntutan secara melampau itu bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah secara jelas terpilih kepada satu kaum dan ekstrem.

"Pas Perak tegas menyatakan bahawa ini adalah agenda perkauman dan tidak menolak kemungkinan ia satu langkah ke arah 'penaklukan' masa depan menerusi pemilikan melampau sedemikian.

"Kami tegaskan tanah berdaulat yang ada asal usul sejarah dan menyaksikan kehidupan harmoni pelbagai kaum ini tidak harus diubah oleh sikap tamak dan rakus DAP berteraskan kuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menjadi pembela setia kepada kepentingan parti itu bukannya suara sewajarnya daripada kerajaan.

"Tuntutan luar biasa itu terlalu jauh dari hakikat kehidupan manusia dan keperluannya kepada tanah.

"Ia sudahpun tergelincir dari Perlembagaan Persekutuan, menyedari rakyat tahu akan tujuan mereka, tiba-tiba cuba menjadi juara membawa retorik baharu kononnya turut memperjuangkan bagi tanah Felda dan kampung tersusun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hak milik tanah kekal bukan bersifat perkauman

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain penting tanah bagi kediaman dan dimanfaatkan untuk tujuan kehidupan, tanah juga menjadi hubungan untuk sesama manusia terutama antara pihak penguasa dan rakyatnya dari aspek nilai hartanah bagi pelbagai tujuan lain.

"Maka sudah tentu pemberian hak milik cuba dituntut DAP itu bercanggah dengan Perlembagaan dan norma kehidupan manusia," katanya.

Terdahulu, Dr Abdul Aziz yang juga Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Perak menyatakan pemberian hak milik tanah kekal yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak bukan bersifat perkauman.

Tuntutan yang dinyatakan dalam Konvensyen DAP itu tidak hanya untuk kaum Cina di kampung baru tetapi membabitkan kaum Melayu termasuk peneroka Felda dan kampung tersusun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!