Taufan landa Filipina, PM harap kontinjen Sukan SEA tabah
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2019 bersabar dan tabah menghadapi situasi Taufan Kammuri yang sedang melanda Filipina.
Beliau juga berharap atlet negara akan melakukan yang terbaik dalam temasya sukan dwitahunan untuk menunjukkan kebolehan Malaysia.
"Itulah harapan saya dan saya berdoa pasukan Malaysia akan berjaya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bendera Malaysia kepada peserta misi All Women Expedition to Antartika (AWETA) di Perdana Putra, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun dilanda ribut taufan yang amat dahsyat, namun beliau yakin kerajaan Filipina akan memastikan Sukan SEA 2019 dapat dijalankan dengan sempurna.
Menurut laporan media, beberapa acara sukan pada temasya Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di dua kluster iaitu Subic dan Clark terpaksa ditunda ke tarikh baharu susulan Taufan Kammuri membadai Filipina.
Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira setengah jam mendengar penerangan daripada penjelajah wanita negara yang juga Mentor AWETA, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, berkenaan pengembaraan yang akan dilalui tiga 'ratu ais' negara dalam misi itu.
Selain menyerahkan bendera Malaysia kepada pasukan itu, Perdana Menteri turut menyerahkan kapsul masa 2030 yang dinamakan 'Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad' yang akan ditanam pasukan itu di Antartika dalam misi yang dijadual bermula pada 18 Dis ini hingga 3 Jan depan.
Tiga peserta misi itu ialah anggota Tentera Darat Malaysia Kpl Siti Jumaidah Bensali, 34; Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri, Salehah Abu Nor, 33; dan ahli farmasi, Nurul Atiqah Tamarun, 31, manakala Sharifah Mazlina akan bertindak sebagai mentor dan moderator.
"Saya juga ada tugas, saya hendak ambil semula kapsul masa saya yang lama (ditanam di Antartika pada 2004), jadi dalam masa sama yang boleh membantu dan memantau mereka.
"Saya akan menghantar mereka di garisan permulaan, selepas itu mereka berjalan sebagai kumpulan, dan saya akan jumpa mereka semula di garisan penamat dan di sana kami akan cari kapsul masa yang saya tanam dulu dan kapsul yang ini (2030) akan ditanam oleh mereka," jelasnya.
Sharifah Mazlina berkata, ketiga-tiga protege itu dipilih selepas mereka berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan sekali gus mengenepikan 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.
Katanya ekspedisi itu akan menggunakan laluan Last Degree 89°S To The South Pole merangkumi jarak sejauh 110 kilometer dan teknik digunakan adalah berski. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!