Had jawatan PM: Usaha semak, seimbang politik negara

Jabatan Perdana Menteri - Foto PMO
Jabatan Perdana Menteri - Foto PMO
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal merupakan satu usaha positif di samping sejajar amalan semak dan seimbang terhadap percaturan politik serta pentadbiran negara.

Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, sekiranya seorang pemimpin memegang jawatan Perdana Menteri terlalu lama, ia boleh mendedahkan dirinya kepada penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang memegang tampuk kepimpinan negara.

"Selain itu ia membuka ruang kepada untuk melahirkan lebih ramai pemimpin kerana selepas dua penggal tempoh perkhidmatan Perdana Menteri tamat, maka perlu berlakunya peralihan kuasa kepada orang lain.

"Dalam pada masa, ia bertujuan untuk menambahbaik polisi negara kerana tempoh dua penggal sudah memadai untuk merencanakan pelbagai perancangan kemajuan dan pembangunan negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau menambah, negara-negara lain seperti Indonesia dan Amerika Syarikat telah lama menetapkan undang-undang had penggal jawatan Presiden kepada dua penggal manakala Filipina pula ditetapkan kepada satu penggal.

Walau bagaimanapun katanya, terdapat sesetengah negara yang menghadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal sebagai amalan konvensyen seperti Australia.

"Australia memang tiada undang-undang khusus tetapi secara amalan politik mereka, tempoh Perdana Menteri tidak lebih dua penggal. Oleh sebab itu, selepas dua penggal mereka akan bertukar kepimpinan Perdana Menteri," katanya.

Beliau mengulas mengenai pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel Berkaitan:

Melalui pindaan yang dicadangkan ini, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen, menurut rang undang-undang itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!