Kuala Lumpur di Kuala Berang?

Nama Kampung Kuala Por dipercayai dinamakan begitu ekoran muara sungai yang berlumpur.
Nama Kampung Kuala Por dipercayai dinamakan begitu ekoran muara sungai yang berlumpur.
A
A
A
HULU TERENGGANU - Kampung Kuala Por di daerah ini sudah wujud sejak lebih 700 tahun lalu. Kuala Lumpur di Kuala Berang. Itu antara nama sering diseloroh komuniti setempat mengenai kampung ini.

Berlokasi kira-kira tiga kilometer daripada Bandar Kuala Berang, Kampung Kuala Por ini mungkin tidaklah sebegitu popular seperti Kampung Buluh bagi masyarakat luar tetapi di sini tetap tercatat sejarahnya tersendiri.

Bukan sekadar punyai kaitan dengan penemuan Batu Bersurat, tetapi di Kampung Kuala Por ini juga terukir sejarah penemuan banyak serpihan pinggan mangkuk buatan China Zaman Dinasti Ming.

Nama kampung asal daripada lumpur sungai

Menyingkap cerita di sebalik asal-usul nama Kuala Por, penempatan penduduk di sini bermula lebih 700 tahun lalu di tepi sebatang sungai memandangkan ketika itu sungai merupakan perhubungan utama.

Menurut Pengerusi Masjid Kampung Kuala Por, Abdul Aziz Jusoh,59, berdasarkan cerita disampaikan orang dulu-dulu yang terus berkesinambungan sehingga kini, por dikatakan singkatan daripada perkataan lumpur.

Kamsan (kiri) dan Abdul Aziz.
Kamsan (kiri) dan Abdul Aziz.



"Kampung ini diberi nama oleh Tok Awang iaitu antara individu awal menetap di sini. Nama Kuala Por diambil sempena penempatan penduduk ketika itu yang bermula di 'kuala' (muara) sungai.

"Manakala por pula berikutan kawasan sungai berkenaan khususnya di 'muka kuala', tersebut punyai banyak lumpur. Muara ini melibatkan pertembungan antara Sungai Por dengan Sungai Terengganu.

Artikel Berkaitan:


"Sungai jadi perhubungan utama ketika itu kerana kemudahan jalan raya belum ada. Kampung ini pada asalnya juga dikatakan jadi tempat persinggahan atau pelabuhan pedagang Islam dari Arab, Parsi dan China.

"Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh yang terletak bersebelah kampung ini. Sungai di sini besar dan lebar, bukannya sebagaimana dilihat hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Makam Tok Raja Ri antara sejarah penting

Tambah beliau, bukti-bukti lain yang masih ada ialah adanya Makam Tok Raja Ri yang pada batu nesannya ditulis dengan tulisan Arab Parsi dan turut dikaitkan dengan sejarah kedatangan Islam ke Terengganu.

Katanya lagi, Tok Raja Ri dikatakan berkemungkinan orang yang mengisytiharkan perundangan di Batu Bersurat (Raja Mandalika).

Batu nesan Makam Tok Raja Ri tertera tulisan Arab Parsi.
Batu nesan Makam Tok Raja Ri tertera tulisan Arab Parsi.



"Ada pendapat lain mengatakan beliau seorang pendakwah dan Pembesar Istana yang datang bersama Pergisyhtiharan Batu Bersurat.

"Bukti-bukti lain yang turut berkaitan ialah penemuan banyak serpihan pinggan mangkuk buatan China zaman Dinasti Ming di kawasan dikenali sebagai Bukit Belimbing berdekatan kampung ini.

"Kini bukit berkenaan ada yang telahpun jadi kawasan kebun, sektor pertanian merupakan perkerjaan utama ataupun majoriti penduduk di kampung ini," ujarnya.

Kospen Kampung Kuala Por paling aktif

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kuala Por, Kamsan Dahlan berkata jumlah penduduk di kampung itu kini sekitar 350 orang dengan jumlah rumah sekitar 70 buah dan turut tidak nikmati pelbagai kemudahan pembangunan.

"Keluasan keseluruhan kampung termasuk kebun kira-kira 265 hektar dan daripada jumlah itu, kawasan perkampungan seluas sekitar 10 hektar. Pekerjaan utama penduduk ialah dalam bidang pertanian.

"Sebagaimana kampung lain, di sini juga ada pembangunan seperti balai raya, masjid, jalan raya serta kemudahan asas bekalan elektrik dan air. Kemuafakatan penduduk masih menebal antara semua peringkat umur.

"Peranan sukarelawan Kospen di sini juga boleh dibanggakan kerana telah berjaya meletakkan Kospen Kuala Por sebagai paling aktif di daerah ini buat masa ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!