Tahniah Polis Marin Sabah!
LABUAN – Polis Marin Sabah (Wilayah 4) berjaya merampas barangan seludup bernilai RM18 juta serta menahan 1,439 orang sepanjang tahun lepas.
Ketua Komander ACP Pejeri Ali berkata perbuatan penyeludupan itu dilakukan sekitar perairan Sabah dan Labuan.
Kes yang terlibat adalah di bawah Akta Kastam 1967, Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (PIndaan 2010) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 antara lain.
"Tahun 2018 merupakan cabaran terbesar bagi Polis Marin Sabah (Wilayah 4) dalam memastikan kawasan perairan Sabah dan Labuan yang panjang dan luas dilindungi dengan selamat," katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.
Beliau berkata kerjasama yang erat dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan terus dipertingkatkan bagi mempastikan penduduk yang tinggal di pantai Sabah dilindungi dan wilayah dan sempadan bebas daripada pencerobohan.
Pajeri berkata perairan Sabah dan Labuan walaupun saiznya besar akan dipantau dengan ketat daripada kegiatan pencerobohan dan penyeludupan.
Katanya kejayaan itu adalah berkat komitmen , dedikasi dan disiplin yang tinggi di kalangan anggota agensi itu.
Pajeri mendedahkan bahawa polis marin Sabah dan Labuan mempunyai lebih daripada 800 anggota dengan 89 aset untuk menjaga kedua-dua perairan itu.
“Operasi yang dirancang tahun ini akan tertumpu kepada penguatkuasaan secara bersepadu dengan lain-lain agensi peguatkuasa seperti imigresen, perikanan, kastam dan Jabatan Pelabuhan Sabah bagi mempastikan perairan sempadan kita berada dalam keadaan baik,” katanya.
Pajeri berkata pihaknya berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa demi menjaga keselamatan perairan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!