Anwar tidak gagal, pergolakan antara kem PKR proses biasa
SHAH ALAM - Kewujudan dua kem dalam PKR yang dilihat semakin bergolak disifatkan sebagai satu proses biasa dalam pembentukan sebuah parti yang masih 'remaja'.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat PKR, Najwan Halimi berkata, bagaimanapun pimpinan parti tidak seharusnya dianggap gagal kerana wujud usaha berterusan untuk PKR tetap bergerak dalam satu pasukan.
Katanya, tidak dinafikan wujud dua kem sejak proses pemilihan namun hanya ada satu nakhoda utama dalam setiap organisasi parti.
"Sejarah PKR tak lari daripada krisis. Tapi kita masih terus bergerak tak berundur daripada masalah. Pemilihan berlaku setiap tahun. parti lain jawatan atas tak dipertandingkan tapi PKR terbuka. Jadi biasalah bila ada Perbezaan pendapat kerana PKR parti berteraskan pelbagai bangsa dan ideologi. Bila sebut tentang krisis ini adalah sebagai proses parti.
"Saya lihat peranan Presiden PKR Anwar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang terbuka, cukup fleksibel dan bertindak atas permuafakatan bukan atas keputusan sendiri semata," katanya pada Program Sinar Live bertajuk 'Dua kem PKR semakin bergolak?' di sini.
Najwan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik mengakui keresahan yang wujud dalam kalangan rakyat tentang pandangan terhadap PKR dan beliau sendiri kecewa dengan situasi yang berlaku.
Justeru, beliau mahu pemimpin atasan menggunakan platform yang sewajarnya bagi menyelesaikan isu dalaman parti.
"Elak buat serangan terhadap pemimpin parti melalui media massa kerana ini membuka ruang kepada musuh/pembangkang untuk memanipulasikan pergaduhan ini. Seharusnya pimpinan tunjukkan contoh yang baik.
"Saya perlu akui, UMNO sendiri bergaduh dalam mesyuarat sahaja. Kalau ada perbezaan pandangan salur pada platform seperti dalam mesyuarat..suarakan, bila habis (mesyuarat) kita keluar bekerja," katanya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan kebimbangan wujudnya provokasi yang cuma memecah-belahkan parti ekoran dakwaan penganjuran kongres berasingan yang mahu dibuat di ibu negara.
"Jika nak buat himpunan sendiri tu masing-masing cuma di peringkat parti kongres rasmi hanya di Melaka. mungkin ini usaha provokasi cuba pecah-belahkan parti. Tapi kalau nak berhimpun, makan-makan atau jamuan itu hak masing-masing kita tak ada ketetapan untuk melarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!