Konflik Anwar, Azmin akan pecah-belah perwakilan: Penganalisis
SHAH ALAM - Konflik antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memecahbelahkan perwakilan.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata, perkara itu tidak mustahil akan berlaku ketika Kongres Nasional PKR yang berlangsung pada Khamis ini.
Menurutnya, konflik berpanjangan antara Anwar dan Azmin jika tidak dibendung akan turut memberi persepsi negatif kepada pembangunan politik parti berkenaan.
"Ternyata perang dingin berlaku antara kedua-dua pemimpin parti itu sedikit sebanyak telah mengganggu reputasi mereka sebelum dan selepas pemilihan parti itu.
"Keadaan ini juga boleh mengganggu reputasi dan pengaruh parti (PKR) yang menjadi tunjang kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Kongres Nasional PKR 2019 yang ke-14 dengan tema Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi bakal berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 5 hingga 8 Disember ini.
Kongres akan bermula dengan perasmian Kongres Wanita PKR pada 5 Disember manakala perasmian Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula berlangsung pada keesokannya.
Anwar pula dijadualkan menyampaikan ucapan dasarnya pada 7 Disember dan sesi perbahasan menyokong ucapan beliau akan diadakan pada hari sama.
Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, konflik politik dalaman parti dalam PKR akan memberikan persepsi negatif bukan sahaja dalam kalangan ahli tetapi juga rakyat dan pengundi.
"Ini akan membayangkan suatu kelemahan dari pengurusan politik yang seharusnya ditangani secara matang dan berdedikasi," katanya kepada Sinar Harian.
Kongres sempena 20 tahun PKR bakal berlangsung di Melaka selepas selesai siri konvensyen PKR peringkat negeri di seluruh negara bermula pada 13 Oktober dan berakhir pada 30 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!