PHISGOC tanggung kos tambahan akibat taufan

Megat Zulkarnain Omardin
Megat Zulkarnain Omardin
A
A
A

JAWATANKUASA penganjuran Sukan SEA 2019 Filipina (PHISGOC) akan menanggung kos tambahan bagi atlet yang tidak dapat pulang ke tanah air berikutan penundaan penerbangan akibat Taufan Kammuri.

Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Sea ke-30, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihak penganjur telah bersetuju menanggung perbelanjaan tambahan untuk penginapan dan makanan disebabkan mereka tidak dapat pulang, kerana negara ini sedang dilanda taufan ke-20 bagi tahun ini.

Beliau turut mengesahkan atlet yang masih belum dapat bertolak ke Filipina untuk bertanding dalam temasya itu dijangka berlepas seawal malam ini atau esok sebaik sahaja pihak berkuasa tempatan membuka semula Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino selepas taufan itu melintasi Manila.

“Kita telah berbincang dengan MAS (Malaysia Airlines) untuk membawa atlet kita ke sini sebaik sahaja mendapat pelepasan daripada pihak di sini apabila keadaan menjadi selamat untuk penerbangan. Mungkin MAS akan melakukan penerbangan menggunakan pesawat lebih besar seperti Airbus A330 atau A380 berbanding Boeing 737-800 untuk menampung lebih ramai penumpang.

“MAS juga tidak akan mengenakan sebarang caj kerana kita tidak batalkan tiket tetapi penerbangan ditunda akibat faktor cuaca yang tidak dapat dielakkan demi keselamatan,” katanya ketika ditemui di Rizal Memorial Coliseum di sini hari ini.

Antara atlet yang tersangkut di Kuala Lumpur akibat pembatalan penerbangan termasuklah atlet dari skuad terjun, olahraga, gimrama dan sukan elektronik (e-Sukan).

Semalam, PHISGOC telah membuat keputusan menunda beberapa sukan seperti bola tampar pantai, kanu/kayak, Muay Thai, pencak silat, pentathlon dan luncur angin yang dijadualkan di sekitar Clark dan Subic pada hari ini ke tarikh baharu.

Megat Zulkarnain yang juga merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengingatkan atlet negara supaya tidak menggunakan kelewatan tiba di venue kejohanan sebagai alasan untuk tidak beraksi dengan baik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!