Had jawatan PM: Semua ahli Parlimen perlu sokong
SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen tidak kira blok kerajaan atau pembangkang perlu menyokong pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tempoh dua penggal.
Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, menetapkan tempoh masa had jawatan Perdana Menteri selama dua penggal adalah berpatutan kerana jangka masa tempoh 10 tahun adalah satu tempoh yang lama untuk memegang jawatan politik bagi pemimpin negara.
"Menghadkan masa tempoh jawatan mungkin tidak digemari oleh sesetengah parti politik tetapi kebaikan untuk negara dan rakyat adalah begitu nyata sekali kerana pimpinan terlalu lama akan menjadikan pembaharuan sukar dilakukan.
"Malah tempoh dua penggal iaitu 10 tahun sudah memadai kerana pelbagai perancangan boleh dilakukan oleh sama ada oleh Perdana Menteri atau Menteri Besar. Sebab itu kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat telah lama melaksanakan perkara ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau mengulas mengenai pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Bacaan kali pertama pindaan rang undang-undang Perlembagaan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Mengikut rang undang-undang itu, pindaan berkenaan melibatkan cadangan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!