Banjir bukan pesta air

Keadaan banjir di Rantau Panjang. - Foto Sinar Harian
Keadaan banjir di Rantau Panjang. - Foto Sinar Harian
A
A
A

BANJIR di Pantai Timur dilaporkan semakin buruk. Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 10,207 orang melibatkan 3,480 keluarga setakat 8 pagi semalam berbanding 10, 078 mangsa pada malam kelmarin.

Pasir Mas kekal sebagai jajahan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu seramai 5,751 orang melibatkan 28 pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Terengganu, jumlah mangsa setakat pagi semalam meningkat sedikit kepada 4,919 orang berbanding 4,908 orang pada malam kelmarin. Mereka ditempatkan di 120 PPS di lapan daerah.

Paras Sungai Golok di Rantau Panjang dilaporkan menurun sebanyak 0.3 meter kepada 10.58 meter berbanding 10.61 meter malam kelmarin namun masih melepasi paras bahaya 9.0 meter.

Banjir berpotensi mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Dalam keadaan yang tidak boleh dielakkan ini, pengetahuan keselamatan dan persediaan awal menghadapi banjir amat berguna.

Paling penting, jangan jadikan banjir sebagai pesta untuk bermain air. Kepada ibu bapa, sila pantau pergerakan anak anda. Saban tahun kita mendengar berita mengenai kematian akibat banjir. Banjir di Kelantan setakat ini telah meragut dua nyawa.

Tanggapan bahawa banjir sebagai pesta bermain air perlu diubah kerana tindakan berkenaan boleh mengundang bahaya. Ada yang bermain air beramai-ramai terutama kanak-kanak dengan begitu seronok. Raut di wajah mereka langsung tidak takut dan risau. Jika apa-apa berlaku pada anak-anak, sudah tentu menyesal tak sudah.

Ada yang bersiar-siar di kawasan banjir atau berada di tepi sungai, parit dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan daripada banjir untuk menangkap ikan. Apabila paras air meningkat, kita tidak nampak objek dalam air itu sama ada wujud lubang yang dalam termasuk pusaran air kuat menyebabkan kita terjatuh ke dalam sungai atau tergelincir dalam parit.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan turut menasihatkan orang ramai mengelak bermain air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mencegah risiko jangkitan leptospirosis (kencing tikus) dan melioidosis melalui air tercemar.

Anggota keselamatan juga dilaporkan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi apa juga keadaan. Justeru, masyarakat perlu mematuhi sepenuhnya arahan daripada pihak berkuasa dan tidak bersikap keras kepala dalam menghadapi bencana bermusim ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!