Beri penjelasan istilah 'penggal'
SHAH ALAM - Usaha menghadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 perlu dijelaskan kepada umum kerana masih terdapat banyak persoalan.
Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ia melibatkan maksud istilah 'penggal' yang perlu dijelaskan sama ada tempoh itu bermula dari tarikh angkat sumpah atau pembentukan kerajaan sebaik sahaja parti terlibat berjaya menguasai kerajaan.
"Lagi satu persoalan dilontarkan adakah RUU ini berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja diluluskan atau dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang. Jika sekarang, saya berpandangan jawatan Perdana Menteri sekarang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sah kerana melanggar perlembagaan ini.
"Bagaimanapun, saya percaya realiti sekarang tidak akan berlaku dalam memastikan situasi politik negara ini berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Muhammad Fathi menyambut baik pembentangan RUU itu dan menyifatkannya satu langkah terbaik kerana jika seseorang pemimpin memegang jawatan dalam tempoh lama, beliau terdedah kepada ruang penyelewengan dan salah guna kuasa.
Katanya, menghadkan tempoh jawatan bukan satu perkara baharu di negara ini kerana sistem monarki iaitu Yang di-Pertuan Agong telah dihadkan dalam tempoh lima tahun
"Negara-negara lain juga menghadkan tempoh jawatan Presiden atau Perdana Menteri kepada dua penggal dan terdapat juga negara kepada satu penggal sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!