'Memang ada segelintir pemimpin PKR suka buat kacau'
KUALA KANGSAR - Hanya segelintir pemimpin berjawatan besar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gemar menimbulkan kekacauan dalam parti.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, hakikatnya semua ahli akar umbi memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Bila kita bercakap mengenai pergolakan dalam parti memanglah nampak ia satu perkara besar dilaporkan di media.
"Ikut kiraan saya hanya beberapa orang berjawatan besar sahaja yang buat bising, rata-rata ahli akar umbi tetap menyokong dan berdiri teguh di sisi presiden," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Keadilan Perak 2019 di Dewan Jubli Perak di sini malam tadi.
Beliau mengakui, dalam tempoh kemenangan Pakatan Harapan (PH) ini, wujud sikap kepura-puraan kalangan pemimpin PKR yang menyimpang daripada matlamat asal perjuangan.
Tanpa menyebutkan mana-mana individu katanya, perkara itu boleh dinilai sendiri oleh ahli.
"Mereka ini masuk parti bukannya untuk mengangkat idealisme parti, bukan untuk membantu rakyat.
"Berbeza keadaan orang masuk Keadilan kerana mereka akan anggap kesusahan rakyat adalah kesusahan mereka sendiri, jadi terserah kepada ahli untuk berada di sisi siapa," katanya.
Setiausaha Politik kepada Anwar itu berkata, semua ahli seharusnya menggilap kembali rasa tanggungjawab sekiranya tidak mahu merasa seperti menumpang di rumah sendiri.
Seperti di Perak katanya, perjuangan PKR telah lama bermula sejak 1999, namun masih timbul masalah koordinasi kalangan ahli yang secara tidak langsung memberi kesan dalam usaha memperkuatkan parti.
"Baik di peringkat pusat atau negeri, perlu ada koordinasi dan komunikasi yang baik, saya merasakan kekurangan itu di Perak.
"PKR bukan parti baru di negeri ini, sudah lama kita berjuang tetapi kadang-kadang rasa juga di lubuk (hati) seakan menumpang di rumah sendiri," katanya.
Konvensyen Keadilan Perak yang disertai lebih 4,000 ahli itu turut dihadiri Anwar, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!