Pusat autisme pertama di Langkawi beroperasi Februari 2020
LANGKAWI - Hasrat ibu bapa yang memiliki anak autistik agar sebuah pusat khas autisme diwujudkan di pulau ini bagi mendapatkan pendidikan yang terbaik untuk anak istimewa mereka bakal direalisasi Februari tahun hadapan.
Pengerusi Persatuan Autisme Langkawi, Mastura Abdul Mutalib berkata, pusat intervensi itu akan mengguna pakai modul Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Pusat Autisme IDEAS (IAC) untuk memberi perkhidmatan berkualiti serta profesional terhadap kumpulan sasar anak berkeperluan khas.
Menurutnya, Pusat Autisme Langkawi akan beroperasi di dua unit banglo di Jalan Batu Asah di sini.
"Sejumlah 13 lelaki dan seorang perempuan anak autisme telah mendaftar untuk mendapatkan latihan di pusat itu yang dijangka mula beroperasi Februari. Antara program yang akan diajar di pusat itu ialah program perkembangan awal kanak-kanak, program vokasional, pendidikan agama dan moral, pendidikan jasmani dan kegiatan kokurikulum.
"Kita jangka pusat itu mampu menempatkan 50 pelajar, ketika ini proses pendaftaran masih dibuka sehingga akhir bulan ini. Jumlah guru dan kakitangan akan ditentukan berdasarkan jumlah pelajar yang berdaftar nanti, secara asasnya seorang guru akan mengendalikan tiga murid," katanya.
Mengulas lanjut, Mastura berkata, pusat berkenaan akan beroperasi lima hari seminggu (Isnin hingga Jumaat) dan turut mengadakan sesi terapi tambahan mengikut permintaan pada hari Sabtu.
"Pusat Autisme Langkawi akan beroperasi tiga sesi sehari iaitu jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 1 tengah hari hingga 5 petang serta sesi penuh 8 pagi hingga 5 petang.
“Ketika ini kita dalam proses untuk menyiapkan bilik kelas dan bilik terapi di pusat itu yang memerlukan dana dianggarkan berjumlah RM300,000. Kita juga berharap ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan untuk membantu pusat ini,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaan ibu bapa anak autisme dengan pembukaan pusat itu, Mastura berkata, mereka amat gembira memandangkan ketika ini ketiadaan pusat pembelajaran khusus autisme di pulau ini, menyebabkan ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke Alor Setar, serta beberapa lokasi lain.
"Mereka sangat gembira dengan berita ini, tak perlu lagi pergi jauh untuk mendapatkan pendidikan terbaik buat anak mereka. Pusat ini juga mengenakan yuran yang berpatutan dengan bayaran pendaftaran RM100 dan bulanan RM400 sekaligus mengurangkan perbelanjaan yang perlu mereka keluarkan ketika ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!