Mangsa banjir harap dapat pulang ke rumah segera
BATU PAHAT - Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama (SA) Seri Comel, di Parit Sulong di sini, mengharapkan mereka dapat pulang segera ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.
Haimi Jawang, 55, berkata, hari ini adalah hari ketiga dia bersama keluarganya berada di PPS berkenaan selepas rumahnya di Kampung Parit Betong dinaiki air kira-kira jam 7 petang, Ahad lepas.
Selain bimbang nasib rumahnya yang ditinggalkan selama beberapa hari itu, Haimi berkata, banjir turut menjejaskan urusan hariannya termasuk sebagai pekebun sawit.
“Saya berharap dalam masa terdekat ini kami sekeluarga dapat pulang ke rumah sekurang-kurangnya saya dapat ‘menjenguk’ rumah dan kebun kelapa sawit.
“Saya difahamkan melalui tinjauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, air sudah mulai surut memandangkan dalam masa dua hari ini tiada hujan lebat,” katanya ketika ditemui di PPS berkenaan hari ini.
Menurut Haimi, walaupun rumahnya berhampiran kawasan berbukit namun lokasi berkenaan sering dinaiki air terutamanya ketika hujan lebat dan musim tengkujuh.
“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan dapat melihat perkara ini dengan lebih serius terutama sistem saliran perparitan di kawasan sekitar Kampung Parit Betong supaya kejadian ini tidak lagi berlaku.
“Bagi banjir kali ini, ia lebih teruk berbanding sebelumnya yang kebiasaannya air banjir hanya akan bertakung di halaman rumah sahaja,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di PPS berkenaan pada sekitar jam 10 pagi ini mendapati jumlah mangsa yang berada di situ masih kekal 52 orang melibatkan 13 keluarga dari Kampung Parit Betong, Parit Abdul Rahman dan Parit Abdul Hadi sejak semalam.
PPS itu mula dibuka pada jam 8 pagi, Isnin lepas dan adalah satu-satunya PPS yang dibuka di Johor setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!