Asid tumpah dalam gudang syarikat kurier
KUANTAN - Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dikerah bagi membantu membersihkan tumpahan asid sulfurik di gudang sebuah syarikat kurier di Indera Mahkota di sini pagi tadi.
Susulan laporan kejadian yang diterima jam 9.01 pagi itu, seramai 10 anggota Hazmat diketuai Komandernya, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Roslan Mat Din dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota ke lokasi untuk tindakan pembersihan tumpahan asid sulfurik di lokasi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, ketika pihaknya tiba, pekerja syarikat terbabit mengambil tindakan awal dengan menabur tepung bagi menyerap tumpahan asid itu dan mengelak mengalir ke bahagian lain.
Menurutnya, operasi pembersihan segera dilakukan dengan menggunakan bahan chemical binder dan soda ash untuk menyerap asid serta membuat kerja-kerja membersihkan kawasan tumpahan.
"Tiada mangsa cedera atau terjejas kesihatan dilaporkan ketika kejadian berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!