KPP beri imej baharu industri pertahanan negara
KUALA LUMPUR - Industri pertahanan negara bakal mempunyai Imej dan pendekatan baharu serta menjadi kerjaya pilihan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perubahan dalam industri pertahanan dan kerjaya dalam bidang ketenteraan itu antara inti pati Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang untuk pertama kali oleh kerajaan di Parlimen, Isnin lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong ketika menjelaskan perkara itu berkata, KPP menggariskan tiga bidang peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, merangkumi kerjaya dalam ketenteraan, kerjaya dalam industri pertahanan dan karier kedua bagi pesara tentera.
“Harapan kami selepas ini kalau boleh rakyat tengok dan pandang kerjaya dalam ketenteraan kerana selepas reformasi dan pembaharuan yang akan dilakukan dalam industri pertahanan ini, kita boleh wujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berpatutan.
“KPP adalah dokumen dasar, selepas ini kita akan perincikan dengan salah satunya menilai semua dasar elaun dan gaji dengan harapan kita boleh jadikan ketenteraan sebagai kerjaya pilihan selain menarik lebih ramai rakyat tidak mengira kaum memilih kerjaya dalam ketenteraan,” katanya dalam temubual bersama Bernama di bangunan Parlimen hari ini.
Bagi karier kedua kepada anggota tentera selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, Liew berkata ia bertujuan menjaga kebajikan bekas anggotanya selain memberi ruang pesara menyumbang kemahiran, pengalaman dan pengetahuan untuk pembangunan ekonomi negara.
“Biasanya selepas berkhidmat, mereka akan bersara pada usia lingkungan 41 hingga 43 tahun dan sebenarnya pada usia itu mereka boleh dapat kerjaya kedua dan boleh menyumbang kemahiran serta pengalaman untuk 20 tahun lagi kepada ekonomi negara,” katanya.
Selain pembangunan kerjaya, Chin Tong berkata, KPP adalah dasar pemikiran strategik yang akan menjadi panduan bagi semua agensi pertahanan untuk mendapatkan sebarang perolehan pada masa hadapan.
Ia termasuk memperbanyakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi agar negara dapat menghasilkan produk tertentu, hasil inovasi rakyat tempatan.
“Ini konsep yang kami nak kemukakan dan kami harap selepas KPP ini rakyat tidak tengok Kementerian Pertahanan hanya dengan skandal sahaja, kerana dulu kita tidak ada peluang untuk memberikan pemahaman isu pertahanan kepada rakyat sehingga rakyat tidak memahami kenapa kita nak beli sesuatu perolehan.
“Selepas ini, dengan dipandu pemikiran strategik KPP, rakyat akan lebih faham dan industri pertahanan juga boleh berdikari untuk menghasilkan sendiri aset yang diperlukan dalam negara,” katanya.
Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul KPP yang menggariskan dua peranan Angkatan Tentera Malaysia melibatkan peranan utama dan sekunder setelah sesi perbahasan disertai 13 ahli Parlimen.
Ia menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030 bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan serta keutuhan wilayah.
Chin Tong berkata, ini kali pertama dasar pertahanan dibentang di Parlimen.
“Sebelum ini, dasar pertahanan tidak dikemukakan kepada rakyat, hanya pada 2010 ada versi ringkas diumumkan tetapi sejak 2006 kita tidak ada dasar pertahanan baharu dan ini kali pertama dalam 13 tahun dasar dibentangkan di Parlimen,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!