'Kami tak mahu sembang kosong macam Adam Adli'
KUALA LUMPUR - Mahasiswa pro-UMNO hari ini berikrar untuk memberikan sokongan secara terbuka kepada pembangkang seperti yang dilakukan aktivis Adam Adli di era Barisan Nasional (BN).
Wakil mahasiswa UMNO, Muhammad Zafir Mohd Saman berkata, mahasiswa tidak mahu lagi menyokong secara bersembunyi kerana ia hanya memberi kesan negatif.
“Kami tak mahu takut lagi. Kami sudah merasa dan nampak apa kesannya sekiranya mahasiswa menyokong UMNO secara bersembunyi.
“Jika Adam Adli dan rakan-rakan boleh menyokong pembangkang dahulu secara terbuka jadi mengapa kami tidak boleh melakukan perkara yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan mahasiswa bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang membuka tirainya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Memetik laporan UMNO Online, Zafir berkata, kelab mahasiswa akan bergerak bukan sahaja sebagai ejen kepada parti tetapi akan menjadi satu gerakan mahasiswa sebagai pasukan untuk mendesak kerajaan.
"Sekarang kami akan lantang untuk jadi semak dan imbang baik kepada kerajaan mahupun UMNO.
"Kami mengkritik dan sediakan solusi. Dulu Adam Adli dan rakan-rakan hanya pandai kritik tapi tiada solusi. Kita tidak mahu seperti itu... tidak mahu sembang kosong.
"Sekarang mana Adam Adli? Menyorok bawah meja... Kami tidak mahu seperti itu," katanya.
Sementara itu, Annuar dalam ucapannya mengingatkan mahasiswa bahawa menjadi pembangkang bukan perkara yang hina kerana pembangkang juga memainkan peranan yang sama penting dengan kerajaan.
"Kita tidak mahu mundur ke belakang atau meletakkan diri dalam situasi rendah diri. Kita adalah sebuah parti perjuangan.
"Tak hina sekiranya kita menjadi pembangkang. Sebagaimana pentingnya menjadi kerajaan, begitu juga pentingnya menjadi pembangkang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!