Media sosial harus diubah sebagai debat politik sihat
KUALA LUMPUR - Penggunaan media sosial perlu diubah sebagai platform debat politik yang sihat.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, media sosial juga boleh dijadikan perangkap untuk 'memukat' haluan politik Malaysia dalam perspektif positif.
Sehubungan itu katanya, wanita UMNO perlu menguasai media sosial bagi menangani perspektif masyarakat masa kini.
"Pada masa kini kemahiran komunikasi merupakan perkara yang perlu dititikberatkan oleh Wanita UMNO.
"Kita perlu melengkapkan diri menyampaikan dan menulis mesej di media sosial yang telus, jelas dan berhati-hati agar tidak disalahertikan.
"Supaya jentera media sosial kita (Wanita UMNO) boleh jangka tindakan musuh politik selain memastikan gerak kerja lebih berkesan bagi memastikan kemenangan (kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihna Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dampak Media Sosial 2.0 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, media sosial juga boleh disifatkan sebagai alat perang untuk parti politik.
Bagaimanapun katanya, ia perlu dilakukan dalam aspek positif dengan mengelakkan fitnah atau atau berita palsu.
"Sesungguhnya cabaran terbesar kita kini adalah untuk melengkapkan diri dengan isu-isu semasa.
"Jadi, Wanita UMNO perlu berusaha menambah pengetahuan dan bijak menyesuaikan diri dengan peredaran zaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!