Harimau Muda pulang awal
HASRAT skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara untuk mara separuh akhir saingan Sukan SEA Filipina 2019 tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, Manila petang ini.
Tampil dengan misi hidup atau mati skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ternyata gagal mempamerkan belang sebenar seperti ketika menjinakkan Timor Leste pada Selasa lalu.
Sebaliknya skuad Kemboja yang turut mengintai slot sama lebih agresif apabila merobek gawang negara hasil ledakan In Sodavid pada minit ke-56 diikuti jaringan Sieng Chathea dua minit kemudian.
Lawan kemudian terus melebarkan jaringan apabila Keo Sokpheng tampil meledak gol minit ke-67 bagi menamatkan cabaran skuad Kim Swee di Filipina pada kali ini sebelum Quentan Cheng menghadiahkan gol sagu hati negara pada minit ke-89.
Kemenangan Kemboja itu menyaksikan pasukan berkenaan mengiringi juara kumpulan, Myanmar ke separuh akhir.
Harimau Muda memulakan kempen Kumpulan A pada temasya dwitahunan ini dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar diikuti kekalahan mengejut 0-1 kepada tuan rumah, Filipina sebelum bangkit melakar kemenangan pertama 4-0 ke atas Timor Leste.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!