Satu pertemuan berasingan PKR akan diadakan di ibu negara?

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus mengesahkan satu pertemuan berasingan bakal diadakan untuk ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hujung minggu ini di Renaissance Hotel, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka berlangsung serentak dengan kongres tahunan perwakilan parti di Melaka.

Memetik portal berita Malaysiakini, Nazree dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan akan ada pertemuan serta program kepimpinan PKR.

"Setakat ini, saya ingat saya boleh sahkan ada. Dua hari, Sabtu dan Ahad.

"Saya menjangkakan Mohamed Azmin dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin akan hadir bersama-sama dengan wakil rakyat dan para pemimpin sayap parti," katanya yang tidak mendedahkan siapa penganjur pertemuan tersebut.

Menurut portal berita itu lagi, Nazree memberitahu, pada kemuncak majlis itu pemimpin parti akan berucap menyatakan 'beberapa pendirian utama'.

"Mungkin ini satu manifestasi dari pimpinan kanan yang terlibat dan juga anggota parti untuk suarakan isu dan pandangan.

"Apapun ini negara demokratik, terpulang nak sertai mana-mana program," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nazree turut mendakwa cuma 2,000 perwakilan daripada 600,000 anggota parti yang akan hadir ke Kongres Nasional PKR di Melaka.

"Ada lagi 500,000 lebih boleh adakan program, dan kalau ia kebetulan dengan tarikh kongres, mungkin satu kebetulan.

"Saya juga tidak tolak kemungkinan, perwakilan (kongres PKR) yang berdaftar yang mungkin berminat untuk menyertai program lain, mereka juga boleh lakukan atas keputusan atau tindakan peribadi," katanya.

Ketika mengulas sama ada pertemuan itu boleh dianggap sebagai 'kongres beriringan' atau 'Kongres PKR 2.0', Nazree dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada media untuk membuat penilaian.

"Ia satu medan pertemuan dan ruang untuk menyatakan pandangan," jawabnya.

Kongres Nasional PKR akan bermula esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka dengan majlis perasmian perhimpunan sayap wanita parti.

Mohamed Azmin dijangka merasmikan Kongres Wanita PKR, sementara Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula akan merasmikan Kongres Nasional AMK yang sebelum ini secara tradisinya dirasmikan Timbalan Presiden PKR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!