Kejayaan bakat digital bukti keberhasilan dasar kerajaan
Sambil melahirkan rasa bangga, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata pencapaian itu juga seiring dengan langkah kerajaan dalam menyediakan kemudahan digital berkualiti pada harga mampu milik, pembangunan bakat serta menyokong perkembangan pesat ekonomi digital dan teknologi negara.
“Semua usaha yang dijalankan ini adalah kerana kita menyedari pentingnya menyediakan anak muda berminda digital yang akan menjadi legasi dalam teknologi digital pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan Young Digital Heroes di sini, hari ini.
Antara yang diraikan ialah pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman yang menjuarai Pertandingan Cabaran Inovasi di New York, Amerika Syarikat.
Pelajar Universiti Malaya pula mendapat tempat pertama dalam Huawei ICT Competition Global Final di China.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, Amer Khawarizmi bin Zulkarnain pula muncul juara dalam Pertandingan Robotik Antarabangsa Kahramanmaras Teknokent di Turki dan akan mewakili Malaysia di kejohanan 'All Japan Robot Sumo Tournament Tokyo 2019' yang akan berlangsung pada 15 Disember ini.
Turut cemerlang ialah kumpulan pelajar Universiti Multimedia yang mendapat pingat emas pada Pertandingan Inovasi Antarabangsa Ke-4 di Kanada selain pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, Aiman Afiq, 16, yang meraih pingat gangsa dalam Pertandingan Kemahiran Junior menerusi penambahbaikan dron di Kazan, Rusia.
Gobind berkata kejayaan mereka juga menunjukkan lebih banyak usaha perlu dilaksanakan bersama pihak berkepentingan termasuk swasta untuk melahirkan bakat dalam kalangan generasi muda dalam bidang berkenaan.
"Projek-projek ini membuktikan bahawa ada banyak lagi yang perlu dilakukan, dan secara peribadi saya ingin mendengar dari para pelajar sendiri, ibu bapa dan guru, mengenai apa yang benar-benar perlu diberi tumpuan. Masa bergerak dengan pantas, begitu juga dengan inovasi,” katanya.
“Itu sebabnya saya mahu meneruskan majlis-majlis perbincangan dengan pemegang taruh. Saling perhubungan perlu berlaku dan berterusan, supaya kita boleh membina masa depan lebih baik kepada bakat-bakat anak muda kita,” katanya dan menambah beliau ingin melihat sendiri projek yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang meraih kejayaan itu.
Dalam pada itu, Gobind berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan beberapa program baharu melibatkan pendidikan digital yang selari dengan perubahan teknologi dan mempersiapkan generasi muda untuk pekerjaan masa depan.
Kumpulan pelajar yang meraih kejayaan itu turut terlibat dengan beberapa program yang dianjurkan MDEC termasuk #myDigitalMaker Movement, Digital Ninja, Champion Schools dan Premier Digital Tech Institutions. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!