Azmin rasmi Kongres AMK, Wanita PKR

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas isu siapa yang akan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlarutan sejak sekian lama, akhirnya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disahkan hadir merasmikan kedua-dua program itu di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) esok.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Biro Politik Khas PKR memutuskan Mohamed Azmin akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita esok manakala Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula hadir menyempurnakan majlis penutup kedua-dua acara itu pada Jumaat ini.

"Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik Khas PKR dengan persetujuan semua yang hadir. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan persiapan kongres.

"Saya ingin menegaskan tiada kongres kedua seperti diuar-uarkan dengan Timbalan Presiden PKR sah akan hadir ke kongres ini," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Fahmi memaklumkan, mesyuarat Biro Politik Khas PKR yang berlangsung di Dewan Persidangan Parlimen telah dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga dihadiri oleh Mohamed Azmin.

Kehadiran Mohamed Azmin ke mesyuarat itu adalah kali pertama selepas beliau terpilih sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham berkata, seluruh kepimpinan dan ahli AMK menyambut baik resolusi yang dicapai melalui satu perbincangan hari ini untuk mengembalikan tradisi dan konvensyen parti dengan perasmian kedua-dua kongres itu dilakukan oleh Timbalan Presiden parti.

"Kami juga mengalu-alukan keputusan untuk melaksanakan perasmian penutup bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR oleh Dr Wan Azizah. Justeru itu, saya menyeru seluruh perwakilan dan pemerhati serta pergerakan AMK Malaysia dari seluruh negara untuk hadir bagi meraikan Kongres AMK pada 5 dan 6 Disember ini dan Kongres Nasional PKR Ke-14 pada 7 dan 8 Disember di MITC," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Hilman, pihaknya mengalu-alukan kepimpinan Anwar dan Mohamed Azmin dalam usaha memperkukuhkan kesatuan dan muafakat anggota parti menjelang Kongres Nasional PKR yang berlangsung mulai esok.

Katanya lagi, AMK juga menghargai kepimpinan tersebut dalam menyelesaikan isu perasmian Kongres AMK yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Isu siapa yang merasmikan Kongres AMK timbul apabila secara tradisinya dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, namun pada tahun ini tradisi itu bertukar dengan Dr Wan Azizah dijemput hadir menyempurnakan acara berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beberapa ahli AMK termasuk Muhammad Hilman tidak puas hati kerana kebiasaannya disempurnakan oleh Timbalan Presiden PKR.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!