Isu PKM: Persatuan Tanjak Melayu, Busana Klang buat laporan polis

Ridza Faitullah (lima dari kiri) bersama ahli Persatuan Tanjak Melayu dan Busana Klang selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.
Ridza Faitullah (lima dari kiri) bersama ahli Persatuan Tanjak Melayu dan Busana Klang selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.
A
A
A

KLANG - Persatuan Tanjak Melayu dan Busana Klang membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat peserta satu acara yang disertai bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah dewan di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Pengerusinya, Ridza Faitullah Abdul berkata, mereka juga mahu polis menyiasat dua ahli politik yang didakwa menyertai acara itu.

Menurutnya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana ideologi komunis itu dianggap sebagai musuh negara dan seterusnya seolah mewujudkan kembali gerakan komunis di negara ini jika tidak dibendung.

“Kami mohon pihak berkuasa ambil tindakan tegas dan siasat perkara ini kerana menjadi isu nasional di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 atau SOSMA bagi membendung perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.

Ridza berkata, sebarang cubaan membangkitkan ideologi komunis boleh bahayakan keselamatan dan merosakkan keharmonian.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 51 laporan telah diterima dari seluruh negara berhubung perjumpaan tersebut.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli PKM yang berlangsung di sebuah dewan di Kajang kerana dikhuatiri mengancam keamanan negara tidak boleh dibiarkan berlaku.

Pada Ahad lalu media melaporkan kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!