Perjanjian Damai Hatyai: Polis jamin siasat dengan adil, telus
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan satu siasatan yang telus dan adil dilaksanakan berhubung penganjuran majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam merujuk kepada penularan gambar tujuh individu memakai pakaian ala komunis berlatar belakang sepanduk bagi memperingati ulang tahun ke-30 persetujuan damai Hatyai berkata, siasatan mendapati gambar-gambar itu diambil pada 2 Disember lepas di Hotel Lee Garden, Hatyai Thailand.
Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) sedang menjalankan siasatan berkaitan dengan penganjuran majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai anjuran Persatuan Persahabatan Abad ke-21 di Kajang, baru-baru ini dan sehingga kini 53 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan isu ini.
“Kes masih disiasat dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara setelah siasatan selesai dijalankan. Selain siasatan di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, polis juga tidak menolak kemungkinan wijudnya kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang lain seperti Akta Pertubuhan 1966 dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurutnya, PDRM menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi berhubung penganjuran majlis di Kajang itu kerana sebarang kenyataan atau artikel yang berkaitan dengan perkara berkenaan tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya.
“Penularan kenyataan atau bahan-bahan berkaitan kedua-dua majlis ini mahupun PKM dikhuatiri akan menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan suasana tidak harmoni di dalam negara.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan memuat naik kenyataan atau artikel berkaitan isu ini boleh mengakibatkan satu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dijalankan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!