Tutup kuari, penduduk dihantui isu banjir lumpur

Penduduk Kangkar Merlimau Parit Sulong membuat laporan polis berhubung banjir lumpur dan meminta kerajaan negeri menutup di kuari di kampung mereka.
Penduduk Kangkar Merlimau Parit Sulong membuat laporan polis berhubung banjir lumpur dan meminta kerajaan negeri menutup di kuari di kampung mereka.
A
A
A

BATU PAHAT - Penduduk mangsa banjir lumpur di Kampung Kangkar Merlimau, Parit Sulong Ahad lepas mendesak kerajaan negeri memantau operasi kuari di kaki Bukit Payung yang didakwa menjadi punca banjir lumpur.

Wakil penduduk Mohd Firdaus Mohd Arshad, 40 berkata, kejadian banjir lumpur kali ini dianggap serius kerana berlaku secara mengejut tanpa persediaan penduduk.

Katanya, banjir lumpur mencecah 0.3 meter itu mengalir deras mengakibatkan 42 rumah penduduk terkesan.

"Hujan lebat bermula jam 3 petang pada Ahad lepas. Saya rasa tidak sedap hati lalu pergi ke kuari berdekatan kerana bimbang air melimpah.

"Bagaimanapun, limpahan air berlaku kira-kira jam 4 petang sehingga ke jalan raya dan rumah penduduk. Keadaan air dan lumpur yang deras membawa sisa kayu sangat menakutkan ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, banjir lumpur itu surut sekitar jam 7 malam dan penduduk bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.

"Kami sedih kerana terpaksa menanggung kerugian besar, banyak harta benda yang rosak akibat ditenggelami lumpur," katanya.

Menurut Mohd Firdaus, banjir lumpur bukan pertama kali berlaku di Kampung Kangkar Merlimau sejak aktiviti kuari bermula 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bilangan rumah penduduk yang ditenggelami banjir lumpur bertambah setiap tahun. Kalau dalam tempoh 10 tahun lepas cuma 7 rumah sahaja terlibat banjir tetapi sekarang sudah 42 rumah.

"Kami bimbang keselamatan di sini kerana banjir besar boleh berlaku pada bila - bila masa jika tindakan tidak diambil. Penduduk berpendapat kuari perlu ditutup," katanya.

Penduduk sudah membuat laporan polis berhubung kerugian yang dialami akibat banjir lumpur di Balai Polis Parit Sulong pada Isnin lepas dan telah menyerahkan kepada badan bukan kerajaan ( NGO) Selamatkan Bukit Payung untuk memperjuangkan suara penduduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!