PAU2019: Bagaimana hala tuju UMNO?

Mampukah PAU2019 merealisasikan segala strategi, hala tuju mahupun sasaran yang direncanakan?
Mampukah PAU2019 merealisasikan segala strategi, hala tuju mahupun sasaran yang direncanakan?
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minggu pertama Disember 2019 merupakan minggu yang sibuk buat media dan tiga parti politik utama negara, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan UMNO.

Manakan tidak, ketiga-tiganya sibuk menghimpunkan ahli, merencana strategi demi survival parti. Namakan apa saja, kongres, persidangan mahupun konvensyen, matlamatnya tetap sama. Merangka hala tuju parti.

Tatkala kebanyakan mata tertancap kepada Kongres PKR dek kerana ‘pergolakan’ dalamannya, UMNO, sebagai parti paling lama di Malaysia tetap menawarkan ramuan tersendiri.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kedua selepas menjadi pembangkang, keyakinan ahli dan pimpinan pasti meningkat apatah lagi mereka kini dilihat semakin menjuarai hati rakyat.

Jika tahun lepas hala tujunya mungkin masih samar namun kelihatan berbeza tahun ini. Yang kelam diterangkan, yang bengkok diluruskan, yang tersimpul pantas dirungkaikan.

Tahun 2018, rata-rata mungkin masih terkejut dengan tumbangnya kerajaan 61 tahun. Secara lahiriah mungkin kelihatan biasa namun di hati tidak mustahil muram, suram menerpa.

Memetik ucapan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan Pemuda tengah hari semalam, jelas UMNO kini mempunyai perancangan bagi menempuh masa depan yang kian mencabar.

“Saya amat berharap agar mereka yang berada di bangku sekolah juga didekati. Ini kerana Pilihan Raya Umum (PRU) akan samada 2021 seperti disebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau sebelum tempoh tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

UMNO masuk ke sekolah? Barangkali ada yang memperkecilkan langkah itu namun harus diingat, kelak umur mengundi diturunkan ke 18 tahun maka langkah UMNO itu tidaklah pelik bahkan agak bijak juga.

Sekiranya begitulah hasrat presiden, tidak mustahil UMNO bakal memperoleh sokongan ramai anak muda kelak. Pelajar sekolah, mahasiswa, belia, mungkin semuanya akan beralih kepada UMNO, tidak lagi Pakatan Harapan (PH).

Menyedari ramai pemimpin melompat usai PRU14, akar umbi berpendapat sudah masanya parti tersebut menghargai mereka yang setia, melupakan mereka yang ‘khianat’.

Justeru, di hadapan Pemuda, Ahmad Zahid menegaskan hanya aktivis Pemuda yang setia akan menjadi keutamaan untuk diangkat sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Kita akan ketengahkan pemuda terutamanya yang setia. Kalau tak setia, bagus pun tak boleh jadi calon," tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Berdasarkan kenyataan itu, jelas keazaman presiden untuk menambah baik parti agar ia semakin unggul di persada politik negara.

Persoalannya, adakah persidangan tahun ini mampu merealisasikan segala strategi, hala tuju mahupun sasaran yang direncanakan?

Atau ia hanya umpama menanam tebu di bibir, manis belaka semuanya namun setelah ditelan, lesaplah kemanisannya yang muncul hanya seketika.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!