Wanita PKR tekad terus jadi tulang belakang parti
SHAH ALAM - Bakal membuka tirai hari ini, Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2019 menyaksikan sayap parti, Wanita PKR beriltizam untuk terus menjadi tulang belakang jitu kepada parti reformasi itu.
Ketuanya, Haniza Mohamed Talha menegaskan, inti pati utama yang diberi penekanan pada kongres yang berlangsung selama tiga hari itu adalah untuk kembali merapatkan saf dan bersatu menuju ke hadapan.
Menurutnya, peranan Wanita dalam parti tidak boleh disangkal lagi dan kehadiran anggota parti memberi gambaran bahawa parti ini serius untuk bergerak ke hadapan.
"Wanita akan terus menjadi tulang belakang parti dan kita mahu meneruskan tradisi pada acara tahunan untuk mendengar amanat dari orang kedua dalam parti (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) untuk memberi teguran yang membina kepada Wanita.
"Ini masa yang dinantikan oleh perwakilan di seluruh negara dan peluang untuk mereka bersuara.
"Harapan Wanita pada kongres ini, kita melihat semula apa yang telah berlaku dan sama-sama bergerak ke hadapan," katanya kepada Sinar Harian.
Perasmian sayap Wanita pada Kongres PKR itu dijadualkan jam 8.30 malam ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Dalam pada itu, di sebalik kemelut dalaman yang melanda parti, Haniza mahu ahli parti mencontohi Wanita PKR yang mengenepikan perbezaan pandangan demi kelangsungan parti.
"Ahli dan pemimpin boleh mencontohi Wanita. Walaupun kami mempunyai pasukan yang berlainan, tetapi berjaya mengurus perbezaan dan hadir untuk kongres ini.
"Kami juga ada perbezaan pandangan, tetapi itu tidak membuatkan kita tidak menghormati antara satu sama lain," ujarnya lagi.
Oleh itu, beliau meletakkan keyakinan lebih ramai Wanita PKR diangkat menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
"Saya lihat wanita berjaya mengurus perbezaan tersebut. Saya nampak ciri-ciri ini, lebih ramai calon Wanita dipilih menjadi wakil rakyat.
"Kemampuan wanita untuk mengurus perbezaan lebih terserlah. Adanya kekuatan ini, saya yakin Wanita PKR mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!