Kayuhan berbasikal rentas usia
SEMEMANGNYALAH saya amat kagum apabila melihat Abang Zaidi dan Abang Mat mengayuh basikal mendaki bukit yang tinggi dan menuruni laluan yang curam di kawasan ladang kelapa sawit itu.
Manakan tidak, Abang Zaidi yang nama penuhnya Abu Zaidi Abu Hassan dan Abang Mat, nama penuh Mohd Som Mahat, masing-masing berumur 60 tahun dan 61 tahun! Saya yang masih dalam lingkungan 39 tahun pula termengah-mengah dan hanya mampu menolak basikal bukit KHS saya untuk mendaki bukit tersebut.
Abang Zaidi dan Abang Mat adalah antara lebih 20 orang ahli Kumpulan Whatsapp ‘Geng Barai’. Rata-rata ahli kumpulan itu kecuali mereka berdua, berumur 40 tahun ke atas.
Meskipun saya bukan ahli kumpulan tersebut, abang saya, Shariem Aizul adalah ahli Geng Barai. Melalui beliaulah saya mendapat maklumat setiap kali ada aktiviti yang berkaitan.
Aktiviti berbasikal bukit atau mountain bike adalah sukan ekstrim yang memerlukan seseorang mempunyai stamina. Cabaran lasak fizikal dan mental itu yang menjadikan sukan berkenaan amat popular terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mencabar andrenalin mereka.
Pilih aktiviti lasak
Mereka yang berumur 40-an dan ke atas mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih aktiviti mencabar itu. Berkenalan dengan lebih dekat, Abu Zaidi adalah seorang pesara.
Beliau pernah menyandang jawatan pengurus besar sumber manusia sebuah syarikat petroleum antarabangsa. Mula aktif menunggang basikal bukit selepas bersara lima tahun lalu, beliau sememangnya seorang yang suka bersukan sebelum bersara.
Abu Zaidi memilih sukan basikal bukit kerana selain ia menguji tahap kecerdasannya, beliau juga dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu dan merapatkan ukhuwah sesama mereka.
“Basikal bukit amat sesuai bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas kerana kurang tekanan pada lutut berbanding berlari atau sukan-sukan yang lain,” kata Abu Zaidi.
Mengayuh basikal bukit bagi pesara itu adalah salah satu cara untuk menghilangkan tekanan selain dapat menghayati keindahan alam semula jadi.
Abu Zaidi turut menasihati mereka yang sebaya dengannya supaya membanyakkan aktiviti riadah untuk kekal sihat dan cergas manakala bagi golongan muda mereka juga perlu bersukan dan jangan hanya asyik bekerja.
“Ingat, kesihatan penting, ini kita perlu jaga,” katanya.
Berbasikal untuk kesihatan
Mohd Som, bekas pekerja syarikat swasta pula melakukan aktiviti basikal lasak itu sejak 1982. Beliau gemar mendaki, melakukan trail running dan berkayuh tiga hingga empat kali seminggu bersama rakan-rakan bagi memastikan tahap kecergasannya sentiasa terbaik.
“Kepada rakan-rakan sebaya saya, janganlah kita hanya menghabiskan masa di kedai kopi sahaja walaupun tidak dinafikan ia bagus kerana dapat bertemu rakan-rakan. Tetapi kita harus bersukan seperti berjalan atau berjoging bagi mengeluarkan peluh untuk kesihatan kita,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Khairul Hisyam Awang Ahmad, 40, berkata, berbasikal dapat mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan selain manfaat cabaran sukan lasak itu yang memerlukan lebih fokus serta mengekalkan kecergasan.
“Memandangkan umur yang semakin meningkat ini, berbasikal bukit ini adalah satu riadah yang paling baik kerana ia mengurangkan risiko penyakit kronik dan menghilangkan tekanan setelah sekian lama sibuk bekerja,” katanya.
Bagi Mohd Ridzuan Nordin, 41, ‘bercinta dengan basikal bukit’ itu membantu beliau membebaskan diri daripada terus dibelenggu rokok.
“Sebagai perokok tegar, bila saya mula berhenti merokok dahulu, hidup saya jadi huru-hara. Jadi saya perlu cari penyelesaiannya. Saya memang ada rakan yang aktif berbasikal bukit lalu saya mula tertarik untuk menyertai mereka. Saya tahu sukan ini memerlukan stamina dan kecergasan yang tinggi jadi saya tekad dalam diri saya saya mesti berhenti merokok.
“Dengan azam dan tekad yang kuat, alhamdulillah ketagihan merokok itu beransur hilang dan kini saya sudah bebas rokok lebih empat tahun,” kata Mohd Ridzuan.
Beliau juga mengakui dengan berbasikal juga dapat mengenali ramai rakan baharu dan dapat berkongsi pendapat mengenai sukan basikal bukit. Bagi mereka yang berumur, memilih sukan berbasikal ini bukan kerana desakan ingin bersaing dengan pengayuh yang lebih muda atau untuk berlumba.
Sebaliknya, mereka hanya mahu memilih serta mengamalkan gaya hidup sihat, menghayati keindahan alam semula jadi dan yang paling penting, pada usia tersebut dapat merapatkan ukhuwah terutamanya dengan pencinta basikal bukit.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!